Putrajaya digesa wujud jawatankuasa khas kaji pindaan Perlembagaan Persekutuan


PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri menjalankan semakan kehakiman berhubung keputusan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri.

Presidennya Musa Awang berkata pindaan itu perlu untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah negeri menjalankan semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan oleh jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri. 

“PGSM berpandangan apa-apa semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut sewajarnya dibuat oleh Mahkamah Syariah memandangkan ia adalah forum sesuai dan kompeten kerana melibatkan pihak dalam kalangan orang beragama Islam dan berpaksikan kepada hukum syarak.

“Oleh itu, PGSM menggesa pihak kerajaan mengambil pendekatan jangka panjang untuk meminda Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah negeri mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia adalah peruntukan yang DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Seksyen 66A menyatakan Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan SIS Forum (Malaysia) selaku pempetisyen untuk mencabar peruntukan enakmen berkenaan. – Bernama, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen