Suspek utama kes pecah gudang, curi alat binaan diberkas, kata polis Ipoh


SUSPEK utama kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian bernilai RM800,000, di Ipoh, pada Selasa telah diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata suspek diberkas di sebuah rumah di Kampung Baru Tambun pada pukul 10 malam, Sabtu lepas.

“Suspek, 40 tahun, mempunyai rekod lampau atas pelbagai kesalahan. Suspek kini direman empat hari sehingga Rabu untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Rakan-rakan sejenayah lain sedang diburu. Dengan tertangkapnya suspek utama ini, beberapa kes jenayah harta benda di Ipoh telah berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilapor, pada 17 Februari lepas, polis berjaya memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan bernilai RM800,000 di sebuah gudang di Bercham.

Mereka yang berumur antara 42 hingga 58 tahun, direman seminggu sehingga esok. – Bernama, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen