Terlalu awal anjur pertemuan Putin-Biden krisis Ukraine, kata Rusia


Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata adalah terlalu awal mengadakan sidang antara Amerika Syarikat dan Rusia berhubung krisis Ukraine, dan jika perlu ianya perlu diputuskan sendiri oleh presiden masing-masing melalui telefon atau kaedah lain. – Gambar EPA, 21 Februari, 2022.

KREMLIN berkata terlalu awal untuk mengadakan sidang kemuncak antara presiden Rusia dan Amerika Syarikat (AS), selepas Paris mengumumkan kemungkinan mesyuarat bagi meredakan ketegangan krisis Ukraine.

Presiden Perancis pada awal Isnin mengumumkan persetujuan telah dicapai pada dasarnya untuk Presiden AS Joe Biden bertemu dengan pemimpin Rusia Vladimir Putin, selagi Moscow tidak menyerang Ukraine.

“Adalah terlalu awal untuk bercakap mengenai sebarang rancangan khusus bagi menganjurkan apa-apa jenis sidang kemuncak,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada pemberita.

“Terdapat persefahaman yang dialog perlu diteruskan di peringkat menteri luar,” kata Peskov, menambah “tiada rancangan jitu disediakan” untuk sidang kemuncak presiden.

“Jika perlu, sudah tentu, presiden Rusia dan AS boleh putuskan untuk mengadakan panggilan telefon atau kaedah lain,” kata jurucakap Kremlin itu.

“Pertemuan boleh dibuat jika ketua negara anggapnya sesuai,” tambah Peskov.

Putin ditetapkan untuk mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Kremlin lewat Isnin, kata Peskov.

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dijangka bercakap melalui telefon dengan rakan sejawatannya dari Perancis Jean-Yves Le Drian kemudian pada Isnin sebelum rundingan yang dijadualkan dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken Khamis.

Ketegangan antara Moscow dan Barat telah meningkat sejak berminggu-minggu berikutan serangan Rusia yang dikhuatiri ke atas Ukraine.

Pemimpin wilayah yang dikuasai pemisah di timur Ukraine mengarahkan orang awam berlepas ke Rusia minggu lalu, memetik apa yang mereka katakan sebagai peningkatan ketegangan di barisan hadapan dengan tentera Ukraine.

Peskov memberitahu pemberita pertempuran baru antara pemisah dan tentera Ukraine telah menjadikan keadaan “sangat tegang”.

“Kami bercakap mengenai tindakan provokatif dan agresif yang dilakukan oleh tentera Ukraine yang membahayakan nyawa orang ramai,” kata Peskov.

Pertempuran tercetus antara pemisah pro-Moscow dan tentera Ukraine pada 2014 selepas Rusia mengambil alih semenanjung Crimea dari Ukraine. Lebih 14,000 orang telah terbunuh dalam pertempuran itu. – AFP, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen