Xi Jinping, Thomas Bach serikan majlis penutup Olimpik 2022


Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach berucap semasa majlis penutup Olimpik Musim Sejuk 2022. – Gambar EPA, 21 Februari 2022.

MAJLIS penutup Olimpik Musim Sejuk 2022 berlangsung meriah di Stadium Negara, di Beijing, malam tadi dengan diiringi irama muzik “Peace - A Community of Destiny”.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden China, Xi Jinping dan isteri, Peng Liyuan serta Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach

Sepanjang 16 hari berlangsungnya temasya itu, Beijing, bandar raya pertama di dunia yang menganjurkan dua Sukan Olimpik iaitu musim panas dan sejuk, menyaksikan kegemilangan dan impian sukan kompetitif, serta menyatukan perpaduan dan persahabatan antara satu sama lain.

Di bawah panji-panji lima gelang, hampir 3,000 atlet dari 91 buah negara dan kawasan berusaha memenuhi potensi dan mencabar kemampuan masing-masing, selain memecahkan dua rekod dunia dan 17 rekod Olimpik Musim Sejuk, sekali gus mencerminkan moto Olimpik iaitu “lebih cepat, lebih tinggi, lebih kuat, lebih bersatu”.

China berjaya mengatasi impak pandemik Covid-19, memberikan sumbangan besar demi menjayakan Olimpik Musim Sejuk yang sederhana, selamat dan menarik.

Ia dapat dilihat apabila venue pertandingan bertaraf tinggi dan perkhidmatan yang cemerlang memperoleh sanjungan tinggi daripada para peserta dan masyarakat antarabangsa.

Kali ini, kontinjen China mencipta rekod baharu bagi jumlah pingat emas dan pingat yang dimenangi dalam temasya Olimpik Musim Sejuk dengan merangkul sembilan pingat emas, empat perak serta dua gangsa.

Dalam ranking pingat pula, China menduduki tempat ketiga, secara tidak langsung mencipta prestasi terbaik dalam sejarah sejak menyertai Olimpik Musim Sejuk pada 1980.

Pada majlis penutup itu juga, Datuk Bandar Beijing, Chen Jining turut menyerahkan bendera Olimpik kepada Bach yang kemudiannya diserahkan kepada Datuk Bandar Milan dan Cortina d’ Ampezzo, iaitu tuan rumah Olimpik Musim Sejuk akan datang.

Bach dalam ucapannya menyifatkan temasya kali ini mempunyai Kampung Olimpik yang unik, venue menakjubkan dan kecemerlangan kerja-kerja organisasi.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur Olimpik Musim Sejuk Beijing, kerajaan China dan semua rakan kongsi di China.

“Ini Olimpik Musim Sejuk yang tiada tandingannya, dan mengalu-alukan China sebagai sebuah negara kuat dalam sukan ais dan salji,” kata Bach.

Tepat 9.35 malam tadi, nyanyian lagu tema Sukan Olimpik Beijing 2008 “You and Me” sekali lagi bergema sambil menyaksikan kemunculan kilauan gelang-gelang logo Olimpik di tengah-tengah venue.

Ia kemudian diiringi obor utama, “Big Snowflake” diturunkan dan api Olimpik perlahan-lahan padam. – Bernama, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen