Polis New Zealand dakwa penunjuk perasaan baling najis manusia


Bendera New Zealand dipasang terbalik oleh penunjuk perasaan di Wellington, New Zealand, melambangkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan negara itu yang melaksanakan mandat vaksin walau ditentang sebahagian rakyat. – Gambar AFP, 21 Februari, 2022.

POLIS New Zealand menuduh penunjuk perasaan antivaksin membaling najis manusia ke arah mereka pada Isnin, ketika pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya di sekitar kem protes di luar Parlimen Wellington.

Penunjuk perasaan menguasai kawasan Parlimen dan jalan-jalan di sekitarnya sejak hampir dua minggu lepas, menubuhkan sebuah kem yang terus berkembang.

Jumlah kenderaan di pusat bandar meningkat hampir dua kali ganda kepada 800 pada hujung minggu apabila lebih ramai penunjuk perasaan menyertai protes.

Polis berkata “sebilangan besar penunjuk perasaan yang lantang hadir” dan lapan tangkapan dibuat.

“Tujuh pegawai mengalami kecederaan semasa operasi, daripada calar hingga kecederaan buku lali,” kata mereka dalam kenyataan.

“Sesetengah pegawai juga terkena najis manusia yang dibaling penunjuk perasaan.”

Polis berkata mereka akan menangkap orang yang bertanggungjawab, menunjukkan cubaan menjangkiti seseorang dengan penyakit secara sengaja boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun.

Pihak polis telah mengambil pendekatan lepas tangan terhadap protes itu, berkata percubaan untuk mengosongkan kem secara paksa daripada Parlimen akan mengakibatkan keganasan.

“Polis perlu bergerak menggunakan belantan, mungkin menggunakan gas pemedih mata, untuk menghalau rakyat dari kawasan yang berkemungkinan membawa kepada konfrontasi berpanjangan,” kata Pesuruhjaya Andrew Coster kepada TVNZ Ahad.

Coster juga berkata beliau telah berhubung dengan pihak berkuasa di Ottawa, Kanada di mana polis yang memakai peralatan rusuhan menggagalkan protes pemandu lori pada hujung minggu selepas lebih tiga minggu.

Protes Wellington bermula sebagai gerakan menentang mandat vaksin tetapi telah berkembang merangkumi pelbagai rungutan, dengan beberapa tuntutan slogan antikerajaan dan antimedia dipamerkan. – AFP, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen