AUSTRALIA membuka semula sempadan antarabangsa kepada semua pelancong yang lengkap vaksin bermula hari ini, selepas hampir dua tahun negara itu menjadi yang pertama menguatkuasakan sekatan perjalanan Covid-19 paling ketat di dunia.
Penerbangan Qantas dari Los Angeles menjadi pesawat pertama mendarat di Sydney pagi tadi diikuti ketibaan dari Tokyo, Vancouver dan Singapura.
“Sudah lama kami menunggu untuk mengalu-alukan pelancong kembali ke Australia,” kata Ketua Eksekutif Qantas Alan Joyce.
Syarikat penerbangan negara itu menjangkakan membawa lebih 14,000 penumpang ke Australia minggu ini – permulaan yang bakal memulihkan sektor pelancongan secara perlahan-lahan selepas teruk terjejas akibat pandemik.
Hanya 56 penerbangan antarabangsa dijadualkan tiba di Australia bagi tempoh 24 jam selepas pembukaan semula – jauh rendah berbanding zaman pra pandemik – tetapi Perdana Menteri Scott Morrison berkata beliau yakin jumlahnya akan meningkat tidak lama lagi.
Australia menutup semua sempadannya kecuali kepada rakyat dan penduduknya pada Mac 2020 dalam usaha menyekat penularan Covid-19.
Sekatan itu turut melarang rakyatnya ke luar negara. – AFP, 21 Februari, 2022.
Komen