Russia hantar tambahan tentera, perisai ke sempadan Ukraine


Anggota tentera Ukraine berkawal di Novoluhanske, timur Ukraine. AS dan sekutu Barat berkata Russia menempatkan ratusan ribu tenteranya di sempadan Ukraine, dan berpotensi melakukan pencerobohan. – Gambar AFP, 21 Februari, 2022.

GAMBAR satelit menunjukkan penambahan baharu tentera Russia dan peralatan ketenteraan dihantar ke kawasan berhampiran sempadan Ukraine, kata Amerika Syarikat (AS).

Imej menunjukkan kelengkapan berperisai dan anggota tentera dihantar, berlepas keluar dari beberapa kawasan tentera sedia ada masuk ke hutan dan padang dengan jarak kira-kira 19 batu dari sempadan Russia-Ukraine, kata Maxar, syarikat imej satelit AS menerusi emel.

Gambar terbaru itu dirakamkan semalam, menunjukkan trak masuk menerusi padang yang dilitupi salji dan dikelilingi hutan dan jalan raya, dengan beberapa bangunan turut kelihatan.

Analisa gambar menunjukkan pasukan tentera dan peralatan digerakkan ke tiga kawasan di barat daya Russia, menurut syarikat berpangkalan di Colorado itu.

“Hari ini kebanyakan unit perang dan peralatan sokongan di Soloti sudah berlepas keluar dan trak serta konvoi peralatan perisai dilihat di kawasan itu.

“Sebahagian peralatan juga digantar ke timur berhampiran Valuyki, Russia iaitu kawasan padang dengan jarak 15km utara sempadan Ukraine,” kata Maxar.

“Sejumlah perlatan juga dilihat di Belgorod iaitu 30km dari sempadan Ukraine, dengan kebanyakan peralatan dan anggota tentera diletakkan di dalam atau kawasan berhampiran hutan.”

Russia menempatkan lebih 150,000 anggota tenteranya di sempadan Ukraine sejak beberapa minggu lalu, menurut anggaran AS dan sekutu Barat, dengan Washington memberi amaran pencerobohan mungkin berlaku.

“Sebanyak 40%-50% anggota tentera dalam kedudukan menyerang. Mereka dipanggil untuk himpunan taktikal dalam tempoh 48 jam lalu,” kata pihak berkuasa AS. – AFP, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen