KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) di Moscow memberi amaran kepada rakyatnya berkenaan kemungkinan serangan di tempat awam di Russia, termasuk di sepanjang sempadan Ukraine di mana Kremlin menempatkan pasukan tenteranya.
“Menurut sumber media, ada ancaman serangan di pusat beli-belah, stesen keretapi dan metro, serta tempat awam lain di kawasan bandar utama,” kata kedutaan menerusi satu kenyataan.
Ia tidak menyatakan laporan media tertentu.
Amaran kedutaan itu berkata ada risiko serangan di Moscow dan Saint Petersburg, selain kawasan yang sedang tegang di sepanjang sempadan Russia dengan Ukraine.
Negara Barat sudah berminggu-minggu mengeluarkan amaran berkenaan kemungkinan Moscow sedang merancang serangan terhadap negara jirannya yang juga bekas Soviet, menuduh Russia menempatkan puluhan ribu anggota tentera di situ.
Kedutaan memaklumkan rakyat AS di Russia untuk mengelak kawasan ramai dan mempunyai rancangan keluar dari Russia tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan AS.
Pihak berkuasa di sekitar sempadan Russia-Ukraine sejak beberapa hari lalu mengumumkan darurat ketika ramai yang lari ke negara itu dari kawasan ditawan pemberontak di timur Ukraine.
Kementerian darurat berkata lebih 50,000 masuk ke Russia sejak pemimpin pemisah di republik itu meminta kanak-kanak dan wanita masuk ke Russia pada Jumaat, susulan pergolakan semakin tegang. – AFP, 21 Februari, 2022.
Komen