JUMLAH kematian akibat hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan Petropolis, Brazil kini meningkat kepada 152, kata pihak berkuasa.
Pekerja menyelamat dan penduduk mencari ahli keluarga yang hilang terus mengorek lumpur di bandar tumpuan pelancong itu, di mana Presiden Jair Bolsonaro berkata lokasi itu kelihatan seperti “medan perang”.
Polis berkata 165 masih hilang sejak ribut pada Selasa lalu. Pihak berkuasa berkata agak mustahil untuk menemui mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan itu.
Masih belum jelas berapa ramai jumlah kematian.
Jumlah mangsa hilang berkurangan apabila semakin banyak mayat dapat dikenal pasti identitinya, dan ada yang berjaya menemui ahli keluarga dalam keadaan selamat, kata polis.
Setakat ini, 124 mayat sudah dikenal pasti termasuk 28 kanak-kanak.
Pope Francis menyampaikan ucapan takziah semalam, selepas acara keagamaan Angelus di Dataran Saint Peter di Vatican.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, lebih 200 maut akibat hujan lebat terutama di kawasan tenggara Sao Paulo dan Bahia, selain Petropolis.
Ribut dan hujan lebat mengubah jalan raya di Petropolis menjadi sungai deras yang menumbangkan pokok, menghanyutkan kenderaan dan mencetuskan tanah runtuh di kawasan miskin di pergunungan yang mempunyai populasi 300,000 penduduk. – AFP, 21 Februari, 2022.
Komen