Polis Kanada halau penunjuk perasaan keluar dari Ottawa


Polis berkawal di semua pintu masuk bagi kawasan seluas 200 hektar di Ottawa dengan anggota bersiap sedia mempertahankan kawasan itu daripada ditawan semula pemandu trak. – Gambar EPA, 21 Februari, 2022.

KUMPULAN trak terakhir ditunda keluar semalam dari ibu kota Kanada, di mana jalan raya sunyi buat kali pertama sejak lebih sebulan lalu, selepas operasi besar-besaran polis menamatkan kepungan dibuat penunjuk perasaan yang membantah peraturan Covid-19.

Kerja pembersihan sedang dilakukan di kawasan bersalji di Ottawa, di mana polis lengkap berpakaian anti rusuhan berdepan dengan penunjuk perasaan terdiri daripada pemandu trak selama dua hari.

Akhirnya semua penunjuk perasaan dapat dihalau keluar dari lokasi protes mereka iaitu di luar bangunan Parlimen.

“Saya gembira dapat kembali bandar saya,” kata Jeff Lindley yang bekerja dan menetap di bandar itu.

“Hari ini terasa lebih baik, lebih tenang dan senyap tanpa kehadiran trak besar dan penunjuk perasaan.”

Ketua polis sementara Ottawa Steve Bell pada sidang akhbar berkata ramai penunjuk perasaan yang melanggar peraturan sudah tiada lagi.

Tetapi katanya operasi masih belum tamat, menjelaskan pihak berkuasa dalam keadaan siap siaga untuk memastikan tidak ada sesiapa kembali untuk menakluki jalan raya di bandar itu sekali lagi.

Beberapa penunjuk perasaan masih berkeliaran pada malam Sabtu, menyanyikan lagu protes zaman 80-an dan membakar bunga api di luar kawasan berpagar keselamatan di sekeliling kawasan Parlimen.

Awal pagi semalam, polis terus berkawal di semua pintu masuk bagi kawsan seluas 200 hektar di kawasan pusat bandar, sementara sejumlah besar anggota kekal bersiap sedia untuk mempertahankan kawasan itu daripada ditawan semula oleh pemandu trak. – AFP, 21 Februari, 2022.———-


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen