PKR sedia hadapi cabaran calon Gerak Independent pada PRU15


Noel Achariam Elill Easwaran

Wakil rakyat PKR berkata mereka bersedia untuk berdepan cabaran daripada calon Gerak Independent di kawasan masing-masing pada PRU akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2022.

WAKIL rakyat PKR berkata mereka bersedia untuk berdepan cabaran daripada calon Gerak Independent di kawasan masing-masing pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen berkenaan memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada menggunakan hak demokrasi masing-masing untuk bertanding pada pilihan raya, termasuk calon bebas dan parti politik lain.

Penyandang ini berkata mereka akan menyerahkan kepada pengundi untuk memilih parti dan calon yang bakal mewakili mereka.

Minggu lalu, Gerak Independent, satu inisiatif bersama mempromosikan calon bebas untuk PRU, mengumumkan ia akan bertanding di enam kerusi Parlimen dipegang Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

Kerusi itu ialah Batu, Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju dan Kota Kinabalu.

Gerak Independent menamakan calonnya terdiri daripada peguam-aktivis Siti Kasim (Batu), bekas wartawan Charles C.J. Chow (Subang), aktivis K.J. John (Petaling Jaya), Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju) dan peguam berpangkalan di Sabah Roland Cheng (Kota Kinabalu).

Wakil rakyat Wangsa Maju Tan Yee Kew berkata sesiapa pun bebas untuk bertanding di kawasannya.

“Ini perkara biasa apabila semakin banyak parti akan bertanding (pada PRU15). Bukan saja di sini, tetapi di seluruh negara.

“Sekarang ada Warisan dari Sabah dan parti Muda yang baru berusia empat bulan, jadi kita menjangkakan lebih banyak lagi yang akan bertanding.”

Pada PRU 2018, Tan beralih dari kawasan Klang ke Wangsa Maju, dan menewaskan calon MCA Yew Teong Look dengan 24,238 undi majoriti.

Tan keluar MCA dan menyertai PKR pada 2008. Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai ahli Parlimen Klang selama tiga penggal sejak 1995 dan pernah dilantik sebagai setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selepas PRU pada 2004.

Bagi mempertahankan kerusinya, Tan berkata beliau akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai.

“Ini negara demokrasi, jadi sesiapa bebas untuk bertanding. Tetapi, kami (PKR) akan mempertahankan kerusi kami. Itu sudah pasti.”

Tan turut mempersoalkan kenapa parti bebas mahu bertanding di kerusi pembangkang sedangkan mereka sepatutnya fokus kepada kerusi lain.

“Tetapi, sekali lagi kita akan serahkan kepada pengundi untuk menentukan parti dan calon mana yang mereka akan sokong,” katanya. – 21 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen