Ratu Elizabeth positif Covid, kata istana


Istana Buckingham hari ini mengesahkan Ratu Elizabeth II, 95, telah diuji positif Covid-19, namun cuma bergejala ringan dan akan meneruskan tugas ringan baginda di Istana Windsor. – Gambar EPA, 20 Februari, 2022.

RATU Elizabeth II Britain yang berusia 95 tahun disahkan positif Covid-19 pada Ahad namun bergejala ringan dan baginda berhasrat meneruskan tugas ringan di Istana Windsor, kata pembantunya.

Berita itu muncul selepas Putera Charles, waris takhta dan anak sulung ratu, diuji positif pada 10 Februari, dua hari selepas bertemu ibunya di Windsor.

Tiada maklumat diberikan ketika itu sama ada Ratu Elizabeth sendiri telah mengambil ujian. Baginda terus menyambung semula sesi mengadap secara peribadi di istana minggu lepas, namun mengadu kekejangan kepada seorang hadirin.

“Istana Buckingham mengesahkan ratu hari ini telah diuji positif Covid,” kata kenyataan dari istana.

“Baginda sedang mengalami gejala seperti selsema ringan tetapi dijangka untuk teruskan tugas ringan di Windsor pada minggu akan datang,” katanya.

“Baginda akan terus menerima rawatan perubatan dan akan mengikut semua garis panduan yang sesuai.”

Walaupun lazimnya berahsia mengenai kesihatan ratu, pihak istana sebelum ini telah mengesahkan baginda telah lengkap divaksin terhadap Covid-19. – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen