Rusia mampu mulakan perang besar, kata UK


Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata rancangan Rusia itu dilihat sebagai sesuatu yang boleh menjadi perang terbesar di Eropah sejak 1945, hanya dari segi skala semata-mata. – Gambar EPA, 20 Februari, 2022.

RUSIA sedang bersedia untuk menarik Eropah ke dalam kancah terburuk sejak Perang Dunia II, kata Perdana Menteri Britain Boris Johnson, memberi amaran sebarang pencerobohan ke atas Ukraine akan membekukan Moscow daripada kewangan global.

“Hakikatnya semua petanda rancangan itu sudah pun bermula dalam beberapa erti kata,” katanya dalam wawancara BBC yang disiarkan pada Ahad dari Persidangan Keselamatan Munich, selepas dua askar Ukraine terbunuh dalam serangan di sekitar kawasan yang dikuasai pemisah.

Rancangan pencerobohan Rusia akan menyaksikan tenteranya bukan sahaja memasuki Ukraine dari timur yang dikuasai pemberontak, tetapi dari Belarus ke utara dan mengepung ibu kota Kyiv, kata Johnson, memetik perisikan Amerika Syarikat (AS) yang disampaikan kepada pemimpin Barat oleh Presiden Joe Biden.

“Orang ramai perlu faham kos besar dalam kehidupan manusia,” katanya, selepas memberi petunjuk Barat akan terus menyokong sebarang penentangan Ukraine selepas pencerobohan.

“Saya takut untuk katakan rancangan yang kita lihat adalah untuk sesuatu yang boleh menjadi perang terbesar di Eropah sejak 1945, hanya dari segi skala semata-mata.”

Dalam ucapan pada Sabtu kepada persidangan di Jerman, Johnson memberi amaran sekatan Barat sebagai tindak balas kepada sebarang pencerobohan akan menjadikannya “mustahil” bagi rejim Presiden Vladimir Putin untuk mengakses pasaran modal di Kota London.

Beliau menunjukkan capaian global untuk sekatan yang juga melibatkan langkah AS, memaklumkan kepada BBC mereka akan menamatkan syarikat Rusia yang “berdagang dalam pound dan dolar”—yang katanya akan memberi tekanan kuat kepada Rusia.

Kerajaan UK telah lama dituduh menutup mata terhadap aliran lumayan wang sumber Rusia melalui London, beberapa daripadanya telah berakhir dalam tabung Konservatif, walaupun parti Johnson mengatakan semua dermanya adalah sah.

Akhbar Sunday Times melaporkan senarai penderma parti elit yang dikatakan mempunyai akses istimewa kepada kerajaan Johnson, termasuk Lubov Chernukhin, yang berkahwin dengan bekas timbalan menteri kewangan Putin, Vladimir Chernukhin.

Di tengah-tengah tuduhan rejim Putin mempunyai kekayaan besar yang tersembunyi di luar negara, undang-undang British mengenai pemilikan syarikat dan hartanah juga telah lama memberi manfaat kepada pelabur yang ingin merahsiakan penglibatan mereka.

Tetapi Johnson berkata pada Sabtu Britain berhasrat untuk “membuka anak patung Matryoshka syarikat milik Rusia dan entiti milik Rusia, untuk mencari penerima utama dari dalam”.

Sementara itu, Setiausaha Luar Liz Truss memberitahu akhbar Mail On Sunday, melainkan Rusia dihentikan di Ukraine, Putin akan “memutar masa kembali ke pertengahan 1990-an atau sebelum itu” dengan kemungkinan menggabungkan Negara Baltik dan Balkan Barat.

Menulis dalam Sunday Telegraph, Setiausaha Dalam Negeri Priti Patel berkata “kesan akan dirasai di sini juga” jika perang meletus, merujuk kepada gangguan siber terhadap media Britain, telekomunikasi dan infrastruktur tenaga yang dipersalahkan ke atas Rusia. – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen