China tolong Hong Kong bina unit pengasingan Covid


Hab kewangan China yang sesak itu sedang dilanda wabak Covid-19 yang paling teruk, mencatatkan ribuan kes setiap hari ketika hospital mencapai titik puncak. – Gambar EPA, 20 Februari, 2022.

PEKERJA pembinaan dari tanah besar China membantu Hong Kong membina dua kemudahan pengasingan sementara bagi menempatkan ribuan pesakit koronavirus pada Ahad ketika seorang pegawai kanan mengisytiharkan bandar itu “dalam mod pertempuran penuh”.

Hab kewangan China yang sesak itu sedang dilanda wabak Covid-19 yang paling teruk, mencatatkan ribuan kes setiap hari ketika hospital mencapai titik puncak.

Dasar sifar-Covid yang ketat seperti China digunakan sejak dua tahun lalu namun ia juga menyebabkan bandar itu terputus di peringkat antarabangsa.

Apabila Omicron menular, pihak berkuasa dikejutkan pula dengan populasi warga emas yang kurang divaksin selain beberapa rancangan untuk menangani wabak besar-besaran.

Pemimpin bandar Carrie Lam mengumumkan pada Sabtu China State Construction International Holdings, pembina milik kerajaan terbesar di Hong Kong, akan memulakan kerja di dua kemudahan pengasingan sementara bagi menyediakan 9,500 katil tambahan.

Unit-unit tersebut akan ditempatkan di Penny’s Bay, yang telah pun menjadi kem kuarantin, dan di Kai Tak.

Lam juga mengumumkan tiga hotel akan digunakan untuk menempatkan tambahan 20,000 katil.

Ketua Setiausaha Negara John Lee menulis di blog rasminya pada Ahad kerajaan bandar itu berada dalam “mod pertempuran penuh”.

“Dengan sokongan kuat tanah air kami, kami pasti akan memenangi pertempuran,” tulis Lee.

Kesibukan yang mendadak berlaku selepas Presiden China Xi Jinping mengarahkan Hong Kong menjadikan usaha menangani wabak itu sebagai “misi utama” dalam komen yang dilihat sebagai sesuatu yang menegur kepimpinan bandar itu. – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen