Pemimpin Somalia tolak perjanjian minyak 'haram' dengan syarikat AS


Presiden dan perdana menteri Somalia mengisytiharkan pembatalan perjanjian cari gali minyak diperairan negara itu yang dipersetujui antara menteri tenaganya dengan sebuah syarikat Amerika Syarikat, berkata ia tidak sah kerana dibuat ketika dalam tempoh pilihan raya. – Gambar AFP, 20 Februari, 2022.

PRESIDEN dan perdana menteri Somalia telah mengisytiharkan batal dan tidak sah perjanjian yang ditandatangani oleh menteri tenaga mereka dengan sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) untuk meneroka minyak dan gas di luar pantai negara bergolak itu.

Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Abdirashid Mohamed Ahmed dan Coastline Exploration Ltd telah mengumumkan pada Sabtu tujuh perjanjian perkongsian pengeluaran (PSA) meliputi blok luar pesisir perairan dalam.

Ahmed memujinya sebagai “saat yang besar” bagi Somalia, salah satu negara termiskin di dunia, yang berada dalam cengkaman krisis politik berhubung pilihan raya yang telah lama tertangguh dan juga memerangi pemberontakan jihad.

“Program seismik yang disiapkan baru-baru ini menunjukkan Somalia berpotensi menjadi negara pengeluar minyak dan gas yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan.

PSA “akan memberi kesan positif serta-merta kepada negara”, katanya, dan dijangka menjana puluhan juta dolar untuk tabung persekutuan dan negeri.

Tetapi kedua-dua presiden dan perdana menteri Somalia - yang sering bertelagah - dengan pantas mengecam perjanjian itu pada lewat Sabtu.

Pejabat Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed, lebih dikenali dengan nama samarannya Farmajo, berkata ia tidak menerima sebarang perjanjian dengan kerajaan atau entiti asing semasa tempoh pilihan raya.

“Oleh itu perjanjian yang ditandatangani menteri adalah terbatal dan tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Mohamed Hussein Roble juga menolak perjanjian itu sebagai “tidak sah, tidak boleh diterima” dalam satu ciapan di Twitter, berkata beliau akan “mengambil semua langkah yang sesuai untuk melindungi sumber negara kita”.

Somalia sedang bergelut melalui proses pilihan raya yang tertunggak lebih setahun dan telah dicemari dengan keganasan, termasuk serangan pada Sabtu di tengah bandar Beledweyne yang mengorbankan 14 orang pada malam sebelum pusingan pengundian untuk kerusi Parlimen sana. – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen