Macron, Putin bincang ketika krisis Ukraine semakin tidak menentu


Presiden Perancis Emmanuel Macron (kanan) akan mengadakan sidang telefon bersama Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) ketika dunia sedang menumpu pada krisis Ukraine yang semakin tidak menentu. – Gambar EPA, 20 Februari, 2022.

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron akan mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawat Rusia Vladimir Putin pada Ahad dalam usaha mengelak ramalan kuasa Barat tentang kemungkinan pencerobohan ke atas Ukraine.

Pada hujung minggu, orang awam telah dipindahkan dari kawasan barisan hadapan yang semakin tegang di mana Kyiv berkata pada Sabtu dua askarnya telah mati dalam serangan, kematian pertama sejak konflik makin memuncak lebih sebulan.

Kremlin menegaskan ia tidak ada rancangan pencerobohan, tetapi ujian tembakan peluru berpandu berkeupayaan nuklearnya pada Sabtu tidak banyak membantu mengurangkan ketegangan.

“Setiap petunjuk menunjukkan Rusia sedang merancang serangan penuh terhadap Ukraine,” kata ketua Nato Jens Stoltenberg.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, yang sebelum ini berkata beliau “yakin” Rusia akan menyerang dalam beberapa hari mendatang, sedang mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Ahad berhubung krisis tersebut.

Pegawai AS dan Kesatuan Eropah berkata mereka percaya Moscow cuba mencipta alasan untuk membuat serangan dengan meminta saluran proksi mengeluarkan maklumat palsu mengenai keganasan di kawasan yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

“Penduduk tempatan di Donetsk dilaporkan tenang walaupun Rusia dakwa ada bom kereta,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price.

Bercakap kepada Macron pada Sabtu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata beliau tidak akan bertindak balas terhadap provokasi Rusia, menurut Elysee.

Tetapi dalam ucapannya kepada Persidangan Keselamatan Munich, beliau juga mengutuk “dasar meredakan” terhadap Moscow.

“Selama lapan tahun, Ukraine telah mengekang salah satu tentera terhebat dunia,” katanya.

Beliau menggesa “jangka masa yang jelas dan boleh dilaksanakan” untuk Ukraine menyertai pakatan tentera Nato yang diketuai AS—sesuatu yang dikatakan Moscow sebagai usaha untuk menggugat keselamatannya. – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen