Masihkah Felda simpanan tetap BN?


TERDAPAT 72 Tanah Rancangan Felda di Johor yang meliputi 20 DUN. Ada sekitar 25 ribu peneroka, namun, yang masih hidup tinggal 40 peratus. Manakala selebihnya adalah Generasi Baharu Felda. 

Johor adalah negeri kedua selepas Pahang yang mempunyai penempatan terbesar di Malaysia.

Seperti yang diketahui umum, penempatan Felda yang ditubuhkan tahun 1956, adalah kelompok terbesar Melayu di 54 kawasan Parlimen, yang dianggap simpanan tetap Barisan Nasional (BN) sekian lama.

Tragedi hitam berkaitan isu penyelewengan dan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, telah mengubah pola sokongan pada PRU14. Buat pertama kali dalam sejarah pilihanraya, 19 kerusi Parlimen di Felda beralih kepada Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

Ia menjadi penyumbang utama kekalahan BN.

Adalah fakta, 22 bulan pemerintahan PH, proses reformasi di Felda berjalan begitu perlahan. Ia mengundang kritikan dan kecaman hebat warga Felda yang mempersoalkan manifesto dan janji yang diutarakan dalam kempen PRU14. 

Ada hujah kenapa proses pembaharuan memakan masa, tapi bagi warga Felda ia sesuatu yang mengecewakan.

Saya acapkali mengingatkan pemimpin utama PH akan risiko mengabaikan janji janji ini ketika dalam kerajaan lagi. Bersemuka dengan menteri berkaitan, pengurusan tertinggi Felda, hatta berhubung dengan beberapa rakan dalam jemaah menteri yang dulunya prihatin pasal Felda. 

Contoh mudah, nak dapat ‘duit raya’ yang menjadi amalan berbelas tahun sebagai penghargaan kepada peneroka atas dedikasi dan produktiviti hasil pun begitu sukar. Sampai buat sidang media untuk desak!

Kertas Putih Felda yang dibentang pada 10 April 2019 meskipun ia usaha yang amat baik dari Kerajaan PH, tapi dianggap begitu lewat sedangkan, damage has been done.

Saya masih ingat, tidak sampai tiga bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa, saya dan NGO Felda dijemput Mustapha Muhammad ke pejabatnya di Putrajaya untuk membincangkan beberapa isu pokok demi melaksanakan Pelan Pemulihan Felda. 

Memorandum yang diserah adalah lebih kurang sama dengan yang kami serah kepada Azmin Ali, menteri yang ‘jaga Felda’ semasa PH memerintah.

Tidak dapat disangkal, Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri, mengambil langkah proaktif dalam membawa perubahan di Felda.

Pengambilalihan semula/pegangan lebih 80 peratus kepentingan di FGV, pelupusan 80 peratus hutang peneroka dan pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) antara kejayaan yang dilihat peneroka. 

Meskipun isu-isu besar tersebut belum selesai sepenuhnya, namun political will dari kerajaan yang memerintah dirasai oleh warga Felda.

Isu harga kelapa sawit yang tertinggi dalam sejarah Malaysia, meskipun ia pasaran semasa dunia; dimanipulasi sebagai kejayaan kerajaan masa kini.

PRN Johor akan menjadi kayu ukur sebenar tahap sokongan pengundi Felda. 

Adakah pengundi Felda yang terdiri dari peneroka dan Generasi Felda sekitar 180 ribu, kembali sebagai simpanan tetap BN?

Sama-samalah kita tunggu tanggal 12 Mac nanti. – 20 Februari, 2022.

* Mazlan Aliman, bekas presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen