Kakitangan Nato dikeluarkan dari ibu kota Ukraine


Nato membuka dua pejabat di Kyiv, Ukraine iaitu Pejabat Perhubungan Nato dan Pusat Maklumat dan Dokumentasi Nato.– Gambar AFP, 20 Februari, 2022.

NATO memindahkan kakitangannya di ibu kota Ukraine, Kyiv, ke Lviv, di barat negara itu dan ke Brussels, Belgium bagi keselamatan mereka, kata pegawai semalam.

“Keselamatan kakitangan kami adalah perkara terpenting, jadi mereka dipindahkan ke Lviv dan Brussels. Pejabat Nato di Ukraine bagaimanapun masih terus beroperasi,” kata pegawai kepada AFP tanpa mendedahkan jumlah sebenar kakitangan yang dipindahkan.

Ukraine bukan anggota Nato dan pakatan itu tidak meletakkan tentera di sana.

Tetapi sejak akhir 1990-an, ia membuka dua pejabat di Kyiv: Pejabat Perhubungan Nato dan Pusat Maklumat dan Dokumentasi Nato.

Beberapa negara Barat sudah mula memindahkan kakitangan diplomatik mereka dari Kiev ke Lviv, terletak berhampiran sempadan Poland, menjelang tindakan ketenteraan Rusia yang dijangka berlaku.

Ibu pejabat Nato terletak di Brussels.

“Semua petunjuk memberi gambaran yang Rusia sedang merancang serangan besar-besaran ke atas Ukraine,” kata Ketua Nato Jens Stoltenberg pada Sabtu.

“Kami semua bersetuju yang risiko serangan adalah sangat tinggi,” katanya kepada media Jerman, ARD, pada Persidangan Sekuriti Munich.

Pejabat Perhubungan Nato di Ukraine memastikan dialog antara Nato dan kerajaan negara itu serta usaha transformasi demokratik sektor pertahanan dan sekuriti Ukraine dilakukan.

Menurut laman web Nato, ia diketuai pegawai awam yang menerajui pasukan terdiri daripada kakitangan tentera dan awam Nato. Menurut laman web yang kali terakhir dikemas kini pada 2016, pejabat itu mempunyai 16 orang kakitangan.

Jumlah kakitangan Pusat Maklumat dan Dokumentasi Nato di Ukraine tidak didedahkan.

Tugas utamanya adalah kerja-kerja komunikasi kepada rakyat Ukraine tentang Nato dan menyokong komunikasi antara institusi Ukraine.

Seorang pegawai Nato berkata kedua-dua pejabat terletak di bangunan sama di Kyiv dan secara kolektifnya dikenali sebagai Perwakilan Nato ke Ukraine.

Tambah pegawai itu, jumlah sebenar kakitangan berbeza-beza pada satu-satu ketika kerana penasihat dari negara sekutu Nato sering “keluar masuk” di situ. – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen