Belon udara panas terhempas di Australia, tujuh cedera


Polis sedang memeriksa belon udara panas yang terhempas di Dixons Creek yang terletak kira-kira 60km di utara Melbourne. – Gambar AFP, 8 Februari, 2018.

TUJUH cedera dan patah tulang belakang selepas belon udara panas terhempas ketika subuh di Australia hari ini, kata pihak berkuasa.

Foto-foto di televisyen menunjukkan beberapa ambulans dikejar ke Dixons Creek yang terletak kira-kira 60km di utara Melbourne.

“Tujuh mangsa dirawat dan dibawa ke hospital oleh paramedik Ambulance Victoria selepas belon udara panas terhempas di Dixons Creek pagi ini,” kata pegawai paramedik.

“Paramedik telah dihantar ke tempat kejadian selepas jam 7 pagi dan membantu 16 orang.”

Mangsa yang cedera yang kebanyakannya berusia 60-an berada dalam keadaan stabil. Tiada maklumat lanjut mengenai identiti mereka buat masa ini.

Menurut laporan tempatan, sebahagian dari mereka tercampak dari bakul belon selepas ia terkena angin kencang ketika cuba mendarat.

“Mereka dilanda perubahan angin barat daya yang laju serta tidak dijangka dan juruterbang menghadapi masalah untuk mendarat dalam situasi sukar itu,” kata jurucakap industri belon udara panas Victoria, Damian Crock.

Belon itu dilaporkan dikendalikan oleh Go Wild Ballooning yang menawarkan perjalanan bagi pelancong ke Yarra Valley, merentasi ladang anggur dan gunung-ganang dengan pemandangan Melbourne dari jauh. – AFP, 8 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen