Kapal China ‘tembak laser’, PM Australia anggap ia satu ugutan


Perdana Menteri Scott Morrison menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan mengugut, tidak diperlukan dan tiada provokasi. – Gambar AFP, 20 Februari, 2022.

PERDANA menteri Australia menuduh China melakukan “tindakan ugutan” hari ini selepas Canberra mendedahkan sebuah kapal laut China menyorotkan sinar laser kepada sebuah pesawat pejuang tentera udara negara itu.

Kapal itu adalah salah satu daripada dua buah kapal China yang melalui perairan Australia pada Khamis apabila ia menyorot laser kepada pesawat udara dalam kejadian yang “berpotensi membahayakan nyawa”, kata jabatan pertahanan.

“Saya tak boleh fikir benda lain kecuali ia adalah tindakan mengugut,” kata Perdana Menteri Scott Morrison, menyifatkannya sebagai tindakan “tidak diperlukan dan tiada provokasi”.

Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton turut meluahkan kebimbangan serupa, berkata ia adalah “tindakan yang sangat agresif”.

“Saya fikir kerajaan China berharap tiada sesiapa akan bercakap mengenai tindakan buli yang agresif ini,” kata Dutton kepada Sky News hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan, kapal China itu sedang berlayar melalui Laut Arafura, utara Australia.

Kerajaan China masih belum memberi maklum balas terhadap tuduhan Australia itu.

Kali terakhir China berdepan tuduhan menggunakan laser gred ketenteraan kepada pesawat Australia adalah pada 2019, ketika helikopter tentera udara Australia sedang terbang di Laut China Selatan.  – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen