Angka korban bencana Brazil meningkat kepada 146 orang 


Anggota pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Petropolis, Brazil.– Gambar EPA, 20 Februari, 2022.

PASUKAN penyelamat mengeluarkan lebih banyak mayat yang tertimbus dalam lumpur berikutan banjir dan tanah runtuh di bandar Petropolis, Brazil, yang menyaksikan angka kematian meningkat kepada 146 orang, termasuk 26 kanak-kanak. 

Anggota penyelamat masih meneruskan kerja menggali lumpur dan runtuhan dengan harapan akan menemui mangsa yang terselamat. 

Jurugambar AFP menyaksikan anggota pasukan penyelamat membawa mayat dalam beg plastik di kawasan yang paling teruk terjejas di Alto da Serra. 

Namun pihak berkuasa berkata hanya ada sedikit harapan pada ketika ini untuk mencari mangsa yang terselamat daripada bencana itu.

Hujan lebat menyebabkan jalan raya bertukar menjadi sungai yang mengalir deras di bandar berkenaan, dan mencetuskan tanah runtuh di kawasan kejiranan lereng bukit yang memusnahkan hampir semua yang ada di laluannya.

Pihak berkuasa berkata 24 orang berjaya diselamatkan hidup-hidup namun kebanyakannya ditemui pada awal selepas bencana. 

Polis Rio de Janeiro berkata 218 orang masih hilang sehingga lewat Jumaat.

Sementara itu, identiti 91 daripada 146 mayat yang ditemui setakat ini telah dikenal pasti, menurut polis. – AFP, 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen