Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Sabtu berkata negaranya berhak mendapat lebih banyak sokongan dalam menghadapi ancaman pencerobohan, ketika ketua Nato Jens Stoltenberg memberi amaran bahawa segala-galanya menunjukkan Rusia sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan.
Ketika ahli politik Barat berkumpul di Jerman untuk membincangkan krisis itu, Rusia menguji peluru berpandu berkeupayaan nuklear bagi menunjukkan kekuatannya.
Zelensky mengutuk “dasar meredakan” terhadap Moscow dalam ucapannya kepada Persidangan Keselamatan Munich.
“Selama lapan tahun, Ukraine telah menjadi perisai,” katanya.
“Selama lapan tahun, Ukraine mewujudkan salah satu tentera terhebat di dunia.”
Zelensky ke Munich walaupun timur negaranya yang dilanda konflik berdepan serangan yang menyebabkan dua askar Ukraine maut.
Zelensky menggesa agar jangka masa yang jelas dan boleh diberikan untuk Ukraine menyertai pakatan tentera Nato yang diketuai AS—sesuatu yang disifatkan Moscow sebagai ancaman untuk keselamatannya.
Tetapi pemimpin Ukraine itu juga berkata beliau bersedia untuk bertemu dengan Vladimir Putin, untuk mengetahui apa yang presiden Rusia mahukan.
Pemimpin Barat di Munich terus membangkitkan kebimbangan mengenai niat Moscow terhadap Ukraine, selepas Presiden AS Joe Biden pada Jumaat berkata beliau yakin Putin merancang untuk menceroboh, termasuk dengan menyerang ibu kota Kyiv, dalam beberapa hari.
Mereka sekali lagi memberi amaran tentang sekatan yang besar jika Rusia menyerang, dengan Naib Presiden AS Kamala Harris berkata ini hanya akan menyaksikan Nato mengukuhkan sekutu timurnya.
“Setiap petunjuk menunjukkan bahawa Rusia sedang merancang serangan penuh terhadap Ukraine,” kata Stoltenberg kepada setsen televisyen Jerman ARD di luar persidangan itu.
Bagaimanapun, sebelum ini, Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock memberi amaran supaya tidak membuat kesimpulan.
“Dalam situasi krisis, perkara yang paling tidak wajar dilakukan ialah meneka atau mengandaikan,” kata Baerbock kepada pemberita, selepas berulang kali ditekan sama ada Jerman berkongsi penilaian Biden.
“Kami tidak tahu lagi jika serangan telah diputuskan,” kata Baerbock.
Zelensky juga menolak ramalan mengerikan Washington di Munich.
“Kami tidak fikir kami perlu panik,” kata Zelensky kepada pegawai peringkat tertinggi dan pakar keselamatan dari seluruh dunia di persidangan berkenaan.
Sementara itu, Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) melaporkan lebih 1,400 letupan berlaku pada Jumaat di dua wilayah Donetsk dan Luhansk di timur Ukraine yang menjadi lokasi konflik antara tentera kerajaan dan pemisah sejak 2014.
Misi Pemantauan Khas OSCE yang ditempatkan di zon konflik berkata pihaknya telah merekodkan 553 letupan di Donetsk.
“860 lagi dilaporkan di Luhansk,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Misi pemantauan itu turut mengesahkan seorang orang awam terkorban di kawasan yang dikawal kerajaan Donetsk. – AFP, 20 Februari, 2022.
Komen