Angka kematian gempa bumi di Taiwan meningkat 9 orang


Pasukan penyelamat sedang melakukan usaha mencari mangsa dalam sebuah bangunan yang terjejas teruk. Satu gempa bumi bermagnitud 6.5 melanda Hualien County di Taiwan pada malam Selasa, lapor agensi berita China Xinhua. – Gambar EPA, 8 Februari, 2018.

SEMBILAN orang maut, 265 cedera manakala 62 lagi masih hilang setakat pukul 7 pagi Khamis selepas satu gempa bumi bermagnitud 6.5 melanda Hualien County pada malam Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Mangsa yang maut termasuk tiga pelancong dari tanah besar. 

Mayat dua daripada mereka dijumpai dalam bangunan Yun Men Tusi Ti yang musnah pada awal pagi Khamis.

Seorang pelancong wanita dari Wilayah Fujian telah diselamatkan dari bangunan yang sama pada Rabu, namun diisytiharkan meninggal dunia pukul 9 malam Rabu.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, gempa itu telah menggegarkan Hualien County pada 11.50 malam Selasa.

Pemimpin Hualien County, Fu Kun-Chi, berkata ia merupakan gempa bumi paling teruk yang pernah melanda Hualien dalam tempoh lima dekad. – Bernama, 8 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen