Vape boleh meningkatkan risiko pneumonia, kata kajian


Wap vape berpotensi memberi kesan buruk kepada kesihatan, kata kata penyelidik, Jonathan Grigg dari Queen Mary University of London. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2018.

VAPE boleh menyebabkan bakteria yang menjadi penyebab pneumonia (radang paru-paru) melekat pada sel-sel yang melapisi salur pernafasan sehingga meningkatkan risiko penyakit, penyelidik hari ini berkata.

Kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Pernafasan Eropah (European Respiratory Journal) tidak membandingkan secara langsung kesan buruk vape dengan rokok tembakau.

Namun, pasukan penyelidik melaporkan bahawa dapatan kajian itu menunjukkan pengguna vape mungkin berisiko tinggi dijangkiti jangkitan paru-paru berbanding mereka yang tidak menghisap vape.

“Kalau anda memilih untuk menghisap rokok elektrik (vape)... ini menandakan anda mungkin cenderung dijangkiti bakteria pneumococcal,” kata penyelidik bersama, Jonathan Grigg dari Queen Mary University of London.

Grigg dan satu pasukan penyelidik menjalankan tiga jenis eksperimen. Satu darinya mendedahkan sel lapisan hidung manusia kepada wap vape di dalam makmal manakala satu lagi melibatkan seekor tikus menghidu wap rokok vape dan kemudian didedahkan pada bakteria pneumococcal yang menjadi punca pneumonia.

Yang ketiga pula, dengan mengkaji perbandingan lapisan hidung antara 11 penghisap rokok elektrik dengan enam individu yang tidak menghisap vape.

Pasukan itu mendapati terdapat peningkatan ketara dalam jumlah bakteria yang melekat di saluran pernafasan selepas terdedah pada wap vape. 

“Ada orang mungkin hisap vape kerana sangka ia benar-benar selamat, atau dalam usaha untuk berhenti merokok. Tetapi, kajian ini menambahkan bukti sedia ada bahawa wap vape berpotensi memberi kesan buruk kepada kesihatan,” kata Grigg. – AFP, 8 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen