Polis tahan 7 lelaki culik warga Bangladesh


POLIS Klang Selatan menahan tujuh lelaki tempatan di sekitar Shah Alam dan Klang awal pagi semalam disyaki terbabit dengan kes penculikan seorang pekerja binaan warga Bangladesh.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata, semua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun diberkas antara jam 1.30 hingga 4 pagi selepas adik mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 1 pagi pada hari sama.

Katanya, menurut laporan, adik mangsa berusia 32 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan telefon milik abangnya berusia 38 tahun kira-kira jam 8.57 malam, pada Khamis lalu.

“Menerusi panggilan itu, suspek memaklumkan abangnya itu ada bersama mereka dan meminta RM50,000 sekiranya mahu dilepaskan atau jika enggan memberikan wang mereka akan pergi ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hampir sejam kemudian kumpulan suspek itu datang dengan membawa mangsa dan memukul adiknya dan tiga rakannya di rumah itu sebelum suspek beredar dengan membawa sekali mangsa.

Katanya, mangsa berjaya ditemui di tepi jalan di Shah Alam kira-kira jam 1.31 pagi hari sama selepas ditinggalkan suspek. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

Semua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 365.

Sementara itu, Polis Shah Alam sedang menyiasat kes berkenaan video tular memaparkan sebuah kereta yang memandu di lorong motosikal pada Rabu lalu di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari arah Klang ke Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Ramsay Anak Embol dalam kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati seorang wanita berumur 69 tahun yang memandu dari rumahnya di Banting tersesat jalan untuk pergi ke rumah anak saudaranya di Pandamaran.

“Pemandu itu panik dan hendak membuat pusingan U namun tersalah masuk ke laluan motosikal. Warga emas itu kemudian berhenti dan mengundurkan kenderaan untuk keluar semula ke laluan betul di Lebuh Raya Kesas,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan dan kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya. – Bernama, 19 Februari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen