13 maut Ribut Eunice badai Eropah


Ribut Eunice merosakkan bumbung di Stadium ADO Den Haag di Belanda pada Jumaat. Cuaca buruk menyebabkan sekurang-kurangnya 13 terkorban di Eropah. – Gambar EPA, 19 Februari, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 13 orang maut di Eropah susulan Ribut Eunice yang melanda Britain semalam dengan kelajuan angin melangkaui rekod.

Jutaan orang terpaksa berlindung, selain khidmat penerbangan, kereta api dan feri merentasi Eropah Barat tergendala.

Suasana di London sepi selepas ibu negara Britain itu diletakkan di bawah amaran cuaca ‘merah’ pertama iaitu terdapat ‘bahaya kepada kehidupan.’

Menjelang malam, polis berkata, seorang wanita berusia 30-an maut apabila kereta dinaikinya ditimpa pokok.

Selain itu, seorang lelaki berusia 50-an juga maut akibat terkena serpihan cermin depan kenderaan dinaikinya, di barat laut England, menurut polis Merseyside.

Di Belanda, tiga maut ekoran pokok tumbang manakala seorang lelaki berusia 60-an di tenggara Ireland dan seorang lelaki Kanada berusia 79 tahun terkorban di Belgium, menurut pegawai di negara berkenaan.

Seorang pemandu maut apabila keretanya merempuh sebatang pokok tumbang menghalang jalan berhampiran Adorp di wilayah Groningen di utara Belanda.

Di Jerman, seorang pemandu maut selepas keretanya dihempap ​​pokok berhampiran bandar Altenberge.

Puluhan rumah di The Hague dikosongkan kerana bimbang kemungkinan sebuah menara gereja runtuh dengan rakaman menunjukkan menara bergoyang dan serpihan besar jatuh ke atas sebuah kereta.

Begitu juga di London, tahap amaran cuaca tertinggi diisytiharkan di seluruh selatan England, selatan Wales dan Belanda dengan banyak sekolah ditutup serta perjalanan kereta api lumpuh kerana ombak besar membadai tembok laut di sepanjang pantai. – AFP, 19 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen