KOREA Utara tidak berhasrat untuk bertemu pegawai rasmi Amerika Syarikat (AS) ketika Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang yang sedang berlangsung di Korea Selatan, kata media rasmi Pyongyang hari ini.
“Kami tidak berhasrat apa pun untuk bertemu pihak berkuasa AS ketika lawatan kami ke Korea Selatan,” kata Cho Yong-Sam, pegawai kanan Kementerian Luar, dipetik berkata kepada KCNA, agensi berita rasmi Korea Utara.
“Kami tidak pernah merayu diadakan dialog dengan AS dan tidak akan pernah berbuat demikian,” katanya.
Tetapi komen itu tidak menolak kemungkinan adanya mesyuarat – atau bertemu Naib Presiden AS Mike Pence, yang dijadualkan berada di Korea Selatan hari ini.
Ketua kontinjen Korea Utara, Kim Yong-nam dan Pence dijadualkan menghadiri acara perasmian di Pyeongchang, esok.
Mereka mungkin sebelum itu akan ditempatkan dalam ruang yang sama di tempat ketibaan pemimpin.
Pence ketika di Tokyo semalam, menyelar Korea Utara dan berkata AS akan mengenakan sekatan paling sukar terhadap rejim itu.
Dengan Pyongyang dilihat menjadikan Olimpik itu sebagai satu publisiti dengan menghantar kumpulan seni, ratusan penyorak wanita dan adik kepada pemimpin Kim Jong-un ke Korea Selatan, Pence berkata AS “tidak akan membenarkan propaganda Korea Utara merampas mesej dan imej Sukan Olimpik”.
Tetapi ketika dalam perjalanan ke Asia, beliau berkata: “Saya tidak minta diadakan mesyuarat, tetapi kita lihatlah bagaimana nanti.” – AFP, 8 Februari, 2018.
Komen