India, UAE sasar tingkatkan dagangan 67% menerusi FTA


Menteri Perdagangan dan Industri India Piyush Goyal berkata UAE bersetuju membenarkan ubat-ubatan India memasuki pasaran negara itu jika  mendapat kelulusan pihak kawal selia, di pasaran seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Britain dan Jepun. – Gambar EPA, 19 Februari, 2022.

INDIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyasarkan untuk mengembangkan dagangan sebanyak 67 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang susulan pemeteraian perjanjian perdagangan bebas (FTA). 

Pada Jumaat Menteri Perdagangan dan Industri India Piyush Goyal dan Menteri Ekonomi UAE Abdulla Touq Al Marri menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif India-UAE (CEPA).

Menerusi kesepakatan itu dijangka dapat meningkatkan dagangan barangan tahunan antara kedua-dua negara kepada US$100 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding AS$60 bilion ketika ini, menurut kenyataan pihak India.

FTA kemungkinan berkuat kuasa pada Mei, kata Goyal pada sidang akhbar bersama.

Goyal berkata UAE bersetuju membenarkan ubat-ubatan India memasuki pasaran negara itu jika  mendapat kelulusan pihak kawal selia, di pasaran seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Britain dan Jepun.

Beliau berkata CEPA akan menjana sejuta pekerjaan di India dalam pelbagai sektor termasuk tekstil, permata dan barang kemas, kulit, kasut, farmaseutikal, pertanian, peranti perubatan, plastik dan kereta.

Hampir 90 peratus barangan setiap negara bakal memperoleh  “manfaat” daripada konsesi tarif yang dipersetujui, kata Goyal.

Dokumen perjanjian setebal 881 muka surat itu merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan barangan, perkhidmatan, digital dan harta intelek.

Al Marri berkata FTA yang ditandatangani selepas mengadakan rundingan selama berbulan-bulan itu turut dijangka memberi kesan di rantau berkenaan.  

“UAE dan India akan memastikan pasaran kami tetap terbuka, dan bersama-sama membantu melakar semula peta ekonomi global. Faedah untuk kedua-dua pihak adalah jelas dan kami yakin ia akan dapat dikongsi seluruh Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan,” katanya.

FTA adalah sebahagian usaha UAE-India untuk mencipta pelan hala tuju baharu “perkongsian berorientasikan masa depan”, menumpukan pelbagai bidang termasuk tenaga, teknologi baharu, kemahiran dan pendidikan, keselamatan makanan, penjagaan kesihatan serta pertahanan.

UAE yang kaya dengan petroleum berusaha menggandakan ekonominya daripada 1.4 trilion dirham (AS$381 bilion) kepada tiga trilion dirham menjelang 2030 dengan lebih menumpukan kepada sektor bukan minyak. – Bernama, 19 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen