PEMERHATI daripada Organisasi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah hari ini berkata mereka mengesan peningkatan signifikan jumlah serangan di sempadan timur Ukraine.
Keganasan semakin memuncak di kawasan tersebut, tempat Kyiv berkonflik dengan pemberontak disokong Moscow sejak lapan tahun lalu.
Dengan dakwaan Washington yang Rusia sedang mengepung negara jiran pro-Baratnya dan merancang menceroboh dalam masa terdekat, situasi di lapangan juga bertambah ganas.
“Sejak beberapa hari lepas, pasukan Pemantauan Khas OSCE untuk Ukraine (SMM) mengesan peningkatan dramatik aktiviti di sepanjang garis sempadan timur Ukraine,” kata OSCE dalam satu kenyataan, menambah yang jumlah pelanggaran gencatan senjata serupa dengan jumlah dilaporkan sebelum perjanjian Julai 2020 untuk mengukuhkan proses gencatan senjata.
OSCE melaporkan terdapat 222 kes pelanggaran gencatan senjata di wilayah Donetsk pada Khamis, termasuk 135 letupan, naik berbanding 189 kes dan 24 letupan pada hari sebelumnya.
Bagi wilayah Lugansk, 648 kes dilaporkan termasuk 519 letupan, naik berbanding 402 kes dan 129 letupan sebelumnya.
Badan pemantau itu menggesa semua pihak berkonflik untuk terus mematuhi komitmen diberikan mereka dan mengambil langkah diperlukan untuk mengurangkan ketegangan.
OSCE yang turut disertai Rusia dan AS sebagai negara ahli, menghantar pasukan pemantau ke Ukraine pada 2014 selepas Moscow menceroboh dan menjajah Crimea.
Konflik bersenjata antara Kyiv dan puak pemisah pro Rusia di timur negara itu sehingga kini sudah membunuh lebih 14,000 orang. – AFP, 19 Februari, 2022.
Komen