Putin sudah ‘buat keputusan’ ceroboh Ukraine, kata Biden


Hubungan Rusia dan Ukraine sedang memuncak dengan kehadiran lebih 150,000 tentera Rusia di sempadan kedua-dua negara. – Gambar AFP, 19 Februari, 2022.

PRESIDEN AS Joe Biden pada Jumaat berkata beliau percaya pemimpin Rusia Vladimir Putin sudah memutuskan untuk menceroboh Ukraine dan serangan boleh bermula “dalam masa terdekat”.

“Ketika ini, saya percaya dia sudah buat keputusan. Kami ada sebab untuk percaya,” kata Biden menambah yang Washington mempunyai “maklumat risikan mencukupi” untuk menyokong kepercayaan itu.

“Kami percaya mereka akan mensasarkan ibu kota Ukraine, Kyiv, bandar dengan penduduk 2.8 juta orang,” katanya lagi.

Tetapi Setiausaha Negara AS Antony Blinken dijadualkan bercakap dengan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov pada Khamis, dan kerana itu menurut Biden masih ada ruang rundingan untuk meredakan ketegangan.

“Diplomasi sentiasa satu kemungkinan,” katanya.

Biden berkata Moscow sedang menjalankan kempen propaganda, termasuk menuduh Kyiv merancang melakukan serangan sendiri bagi mencipta gambaran pencerobohan Rusia.

“Tidak ada logik di sebalik tuduhan ini untuk percaya yang Ukraine akan memilih memburukkan lagi konflik lama ketika 150,000 tentera Rusia berhimpun di sempadannya,” kata Biden.

“Semua ini konsisten dengan taktik yang Rusia selalu gunakan sebelum ini untuk mencipta justifikasi palsu untuk bertindak ke atas Ukraine,” kata Biden di White House. – AFP, 19 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen