Thailand teliti cadangan AirAsia kurangkan bayaran parkir, pendaratan


Timbalan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul bersetuju meneliti cadangan AirAsia untuk kurangkan bayaran parkir dan pendaratan di lapangan terbang di Thailand agar meringankan beban dihadapi syarikat itu yang terjejas akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2022.

TIMBALAN Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul bersetuju untuk meneliti cadangan AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) bagi pengurangan bayaran parkir dan pendaratan di lapangan terbang.

Anutin berkata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tony Fernandes mencadangkan pengurangan itu pada mesyuarat di Rumah Kerajaan hari ini untuk membantu meringankan beban kewangan dihadapi syarikat penerbangan itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

AirAsia Aviation Group Limited adalah cabang penerbangan Capital A Bhd, dahulunya dikenali sebagai Kumpulan AirAsia.

Anutin berkata beliau akan membincangkan cadangan itu dengan Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob dan pihak Lapangan Terbang Thailand (AOT) sebelum membentangkannya kepada Kabinet.

“Jika cadangan itu diluluskan, bayaran akan dikurangkan untuk semua syarikat penerbangan,” katanya.

Selain itu, Fernandes turut menggesa kerajaan Thailand membatalkan ujian wajib Covid-19 RT-PCR kedua bagi pelawat di bawah program bebas kuarantin “Test & Go” bagi menggalakkan ketibaan pelancong ke negara itu.

Menurut Anutin beliau telah menyerahkan kepada Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) untuk meneliti cadangan itu dan mencari langkah saringan alternatif.

Pada masa ini, di bawah program “Test & Go”, pengembara perlu memohon Pas Kebenaran Thailand sebelum masuk ke negara itu dan mereka perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$50,000 dan menunjukkan keputusan ujian RT-PCR Covid-19, 72 jam sebelum perjalanan.

Selain itu, pengembara perlu membuat pra-tempahan SHA Extra di hotel yang ditetapkan dan ujian RT-PCR Covid-19 untuk Hari Pertama dan Hari Kelima selepas ketibaan. – Bernama, 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen