QUINCY Jones, penerbit muzik legenda di belakang kejayaan Michael Jackson berkata Raja Pop itu memplagiat beberapa lagu popularnya.
“Saya tak suka hendak dedahkan perkara ini, tetapi Michael banyak mencuri. Dia curi banyak lagu,” kata Jones dalam satu temu bual yang diterbitkan oleh Vulture, satu majalah di New York, pada Selasa.
“Nota tidak menipu,” kata veteran muzik berusia 84 tahun itu.
Beliau secara khusus memetik “Billie Jean” – lagu dalam album diterbitkannya sendiri “Thriller”, yang “meletup” di seluruh dunia.
Jones berkata ada persamaan antara lagu itu dengan lagu ratu disko Donna Summer bertajuk “State of Independence”, yang juga diterbitkan olehnya dan dikeluarkan beberapa bulan lebih awal pada 1982.
Beberapa pendengar serta-merta dapat mengaitkan dua lagu itu.
Jones berkata Jackson “tamak” dan sepatutnya memberikan sedikit penghargaan kepada pemain keyboard Greg Phillinganes untuk lagunya “Don’t Stop ‘Til You Get Enough”.
Dakwaan Jones itu berbeza dengan tanggapan masyarakat umum terhadap Jackson yang meninggal dunia pada 2009 dan sering dilihat sebagai individu yang terseksa, tetapi bukan kerana masalah kewangan.
Jones berkata dia simpati dengan isu peribadi Jackson, dan mendakwa pernah meluahkan kebimbangan berkenaan pembedahan plastiknya dan menyalahkan penderaan dialami menyebabkan penyanyi itu rasa rendah diri.
Dalam usia lanjut, Jones masih aktif dengan baru-baru ini melancarkan video Qwest TV yang menyiarkan lagu jazz.
Dalam satu temu bual dengan majalah GQ, Jones berkata dia pernah mempunyai 22 teman wanita di seluruh dunia, menguasai 26 bahasa dan menjalani rawatan di Sweden yang dapat membantunya hidup hingga usia 110 tahun. – AFP, 8 Februari, 2018.
Komen