Polis tangkap ketua protes Kanada


Konvoi Kebebasan Kanada bermula apabila para pemandu lori memprotes arahan wajib vaksin Covid bagi menyeberangi sempadan ke Amerika Syarikat, namun tuntutan itu makin lama makin berkembang kepada gesaan menamatkan semua sekatan pandemik di negara itu. – Gambar EPA, 18 Februari, 2022.

PPOLIS Kanada pada Khamis mula menangkap pemimpin protes yang diketuai oleh pemandu lori yang telah menyekat jalan-jalan di ibu negara sejak tiga minggu sehingga kerajaan menggunakan kuasa darurat.

Satu video yang disiarkan di Twitter tentang protes “Konvoi Kebebasan” itu menunjukkan Tamara Lich, salah seorang penganjur, telah ditahan polis pada Khamis.

Penangkapan awal seorang lagi pemimpin, Chris Barber, turut dirakam dalam video yang dikongsi di akaun yang sama.

Konvoi itu bermula dengan pemandu lori memprotes arahan wajib vaksin Covid untuk menyeberangi sempadan Amerika Syarikat (AS), tetapi tuntutan itu berkembang dengan menggesa penamatan semua sekatan pandemik.

Pergerakan itu juga telah membuat sekatan hampir setengah dozen laluan sempadan AS-Kanada – termasuk laluan utama antara Windsor, Ontario dan Detroit, Michigan.

Terdahulu pada Khamis, Lich menyiarkan video penuh sebak mengatakan beliau menjangkakan akan ditangkap.

Beliau menyeru penyokong membanjiri ibu kota, berkata pemandu lori yang sudah sedia ada “akan kekal dan berjuang untuk kebebasan anda.”

“Jika anda boleh datang ke Ottawa dan bersama kami, itu akan menjadi hebat,” katanya.

Tetapi ketua polis bandar Steve Bell berkata akses ke pusat bandar Ottawa akan dihadkan bagi menghalang orang ramai menyertai demonstrasi itu, selain memberi amaran tindakan segera terhadap mereka yang sudah berada di sana.

“Saya mohon sesiapa sahaja yang ada di sana: Naik trak anda… dan tinggalkan jalan raya bandar kami,” kata Bell kepada pemberita. – AFP, 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen