Pembunuhan kejam wanita Asia di New York membimbangkan


Himpunan aman diadakan di kawasan berhampiran bangunan di mana Christina Yuna Lee dibunuh di rumahnya di New York. – Gambar AFP, 18 Februari, 2022.

DUA pembunuhan kejam dalam tempoh kurang sebulan menyebabkan wanita Asia Amerika di New York City berasa gementar.

Di kawasan metropolitan di seluruh negara, mereka mengatakan ada sebab yang berterusan untuk mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, lapor Xinhua memetik laporan NBC.

Sekitar jam 4 pagi Ahad, Christina Yuna Lee, 35 ditemui mati di dalam bilik airnya ditikam 40 kali selepas seorang lelaki, Assamad Nash, didakwa secara senyap mengekori mangsa ke pangsapurinya di Manhattan, menurut laporan itu.

Sebelum itu, Michelle Go, 40, mati pada 15 Januari selepas ditolak jatuh atas landasan stesen kereta api bawah tanah Times Square ketika kereta api tiba di stesen itu.

Pada majlis  memperingatinya, Datuk Bandar New York City Eric Adams berkata: “Saya sekali lagi berikrar untuk memastikan perkara ini tidak akan berlaku di bandar kami.”

Beberapa wanita di bandar itu dipetik sebagai berkata kenyataan seperti itu seolah-olah tidak memberi jaminan. Dengan kematian Lee di rumahnya sendiri, mereka berkata New York tidak selamat lagi.

Pengarah Eksekutif Forum Wanita Amerika Asia Pasifik Nasional Sung Yeon Choimorrow berkata kekejaman dihadapi warga Asia Amerika sudah lama berlaku, kesan daripada keganasan dan sikap perkauman tidak seimbang.

“Apabila keganasan berkaitan pandemik terhadap khususnya orang Asia Timur mula berlaku, orang ramai bercakap mengenainya seolah-olah ia baru pertama kali berlaku.

“Sekarang orang ramai mula memberi perhatian. Tiba-tiba sekarang mereka mahu tahu dan berminat,” katanya. – Bernama, 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen