SEKURANG-KURANGNYA lima terbunuh akibat ribut kuat yang melanda Eropah dengan angin selaju 181km/j menjejaskan pergerakan orang ramai.
Di Poland, kelajuan ribut sehingga 125 km/j merosakkan lebih 500 rumah, ratusan pokok tumbang dan menyebabkan 324,000 penduduk di seluruh negara terputus bekalan elektrik dalam sekelip mata.
Polis berkata dua maut dan dua cedera selepas ribut menumbangkan kren besar di tapak pembinaan di Krakow.
Seorang lagi maut dihempap pokok yang tumbang atas keretanya di barat negara itu.
Di Jerman, pokok tumbang menyebabkan dua pemandu maut, seorang berusia 37 tahun, berhampiran bandar utara Bad Bevensen dan seorang lagi berusia 55 tahun di Schwenda.
Republik Czech turut mengalami ribut kencang dengan 300,000 isi rumah terputus bekalan elektrik dan berlaku gangguan lalu lintas akibat pokok tumbang menghalang jalan raya dan landasan kereta api.
Angin terkuat dengan tiupan 181 km/j direkodkan di Snezka, gunung tertinggi di utara Czech.
Tiga kanak-kanak dibawa ke hospital akibat cedera selepas kemalangan kereta di barat daya negara itu.
Angin terlalu kuat hingga bonet sebuah kereta terangkat menyebabkan pemandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah kereta lain.
Di Wales, ribut merosakkan dan memusnahkan sebahagian besar bumbung kediaman hampir di seluruh negara.
Di Belanda, angin kencang mencederakan tiga orang termasuk seorang pegawai polis, selepas bumbung bangunan komersial di Duiven, dekat Arnhem diterbangkan angin, kata stesen penyiaran NOS.
Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam mengumumkan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan, termasuk beberapa perkhidmatan kereta api.
Tentera Britain diletakkan dalam keadaan bersiap sedia selepas perkhidmatan meteorologi mengeluarkan amaran merah semalam dan hari ini, sesuatu yang jarang berlaku.
Ia turut mengeluarkan peringatan angin ribut kencang di barat daya England dan selatan Wales membahayakan nyawa.
Ireland juga mengeluarkan amaran angin kencang yang boleh merosakkan dan kemungkinan banjir di kawasan pantai. – AFP, 18 Februari, 2022.
Komen