PENDAKWAH terkenal Ebit Lew dihadapkan ke mahkamah di pedalaman Sabah hari ini bagi pertuduhan melibatkan kesalahan gangguan seksual, menurut polis Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan berkata, Ebit didakwa dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom.
Katanya, ia berkaitan kesalahan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
“Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Abd Jalil berkata, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, Ebit berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, kawasan itu dikawal ketat pasukannya sejak awal hari ini dan Ebit, 37, tiba kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki sebuah van Toyota serta ditemani sekumpulan individu.
Sementara itu laporan Berita Harian menyebut, Ebit mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Azreen Yas Mohamad Ramli.
Ebit dilaporkan diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada Jun.
Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin. – 18 Februari, 2022.
Komen