Hakim AS arah Trump beri keterangan siasatan kes penipuan


Bekas presiden Donald Trump, anak lelakinya Don Jr dan anak perempuannya Ivanka dikenakan sepina untuk beri keterangan dalam siasatan penipuan urus niaga perniagaan keluarga itu. – Gambar AFP, 18 Februari, 2022.

HAKIM Amerika Syarikat (AS) memutuskan pada Khamis yang bekas presiden Donald Trump dan anak sulungnya mesti memberi keterangan secara bersumpah dalam siasatan sivil New York terhadap dakwaan penipuan perniagaan keluarganya.

Keputusan itu adalah tamparan terbaharu kepada bekas pemimpin berusia 75 tahun itu ketika berdepan banyak kes yang boleh memberi kesan kepada cubaannya untuk bertanding pada 2024.

Trumps beberapa kali cuba menghentikan siasatan Peguam Negara New York Letitia James, yang bulan lalu berkata berjaya menemui “bukti penting” amalan penipuan atau mengelirukan dalam Trump Organization.

Susulan lebih dua jam hujah lisan, hakim negeri Arthur Engoron menolak rayuan Trump, Donald Jr dan Ivanka untuk membatalkan sepina yang dikeluarkan oleh James pada Disember.

Beliau mengarahkan ketiga-tiga mereka memberi keterangan bersumpah di pejabat James dalam masa 21 hari. Trumps dijangka membuat rayuan.

Peguam mereka berhujah sepina dalam kes sivil itu adalah percubaan James untuk mendapatkan bukti bagi siasatan jenayah terhadap Trump Organization.

Mereka berhujah James cuba mengatasi undang-undang negeri New York yang memberikan kekebalan kepada saksi yang hadir di depan juri dalam kes jenayah.

Engoron berkata hujah mereka tidak tepat dan berkata peguam daerah Manhattan, yang menjalankan siasatan jenayah, mahupun pejabat James sudah mengarahkan Trump hadir di depan jemaah juri.

Dalam keputusannya, Engoron menambah Trumps boleh memohon hak Pindaan Kelima mereka untuk tidak menunjukkan diri bersalah semasa disoal siasat dalam kes sivil.

Beliau berkata anak lelaki Trump, Eric membuat pengakuan yang kelima “lebih 500 kali” semasa keterangan bersumpah bagi siasatan James pada Oktober 2020.

Engoron juga menolak dakwaan Trump yang siasatan oleh James, seorang Demokrat, adalah bermotifkan politik.

James dalam dalam siasatan berkenaan sama ada Trump Organization mungkin memberikan laporan palsu berkenaan nilai hartanahnya, bagi pontensi memperoleh kelebihan perbankan dan cukai.

Siasatannya bermula pada Mac 2019 dan mengesyaki Trump Organization secara menipu menaikkan nilai hartanah tertentu ketika membuat permohonan bank, dan kemudian melaporkan nilai lebih rendah ketika mengisytiharkan harta supaya cukai dibayar lebih rendah. – AFP, 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen