BALI membuka semula pelancongan kepada pelawat asing semalam dengan penerbangan penumpang antarabangsa pertama ke pulau percutian Indonesia dalam tempoh hampir dua tahun.
Penyambungan semula penerbangan dibuat selepas kepulauan Asia Tenggara melonggarkan peraturan kuarantin walaupun berdepan lonjakan kes Covid-19 yang didorong oleh varian Omicron.
Sebuah pesawat Singapore Airlines yang membawa 109 penumpang antarabangsa dan 47 warga Indonesia mendarat di Bali semalam, kata gabenor pulau itu Wayan Koster dalam satu sidang akhbar.
Pelawat asing perlu menjalani kuarantin di salah sebuah hotel daripada 27 hotel yang ditetapkan selama tiga hingga tujuh hari bergantung pada jumlah dos vaksin yang diterima, menurut peraturan baharu di seluruh negara yang disiarkan semalam.
“Saya berharap pada awal Mac tiada lagi peraturan kuarantin wajib untuk pelancong selagi mereka mematuhi syarat protokol kesihatan dan menunjukkan keputusan ujian negatif semasa berlepas dan tiba,” kata gabenor berkenaan.
Singapore Airlines berkata mereka akan mengendalikan penerbangan harian antara bandar dan Bali bagi memenuhi permintaan.
Syarikat penerbangan lain termasuk Jetstar Airways yang berpangkalan di Australia boleh menyambung semula penerbangan ke kawasan tumpuan percutian seawal bulan depan, tambahnya.
“Kami menyedari kes varian Omicron yang semakin meningkat tetapi selagi kita melaksanakan protokol kesihatan dengan ketat kita tidak perlu bimbang,” kata pengerusi Persatuan Hotel dan Restoran Bali, Rai Wijaya.
Pihak berkuasa Bali telah mencuba membuka semula secara terhad pada Oktober lepas untuk beberapa negara terpilih tetapi sambutan agak kurang disebabkan keperluan kuaratin yang ketat selain ketiadaan penerbangan terus.
Indonesia merekodkan jumlah kes baharu koronavirus pada Selasa.
Jangkitan harian melebihi 57,000 melepasi angka tertinggi yang dicatatkan pada Julai tahun lalu semasa gelombang Delta melanda, menurut pasukan petugas Covid-19.
Di tempat lain di rantau ini Filipina dibuka semula untuk pelancongan antarabangsa minggu lalu manakala Vietnam merancang mengalu-alukan kedatangan pelancong asing mulai 15 Mac. – AFP, 17 Februari, 2022.
Komen