MAHKAMAH Perlembagaan Itali pada Rabu menolak permohonan untuk mengadakan pungutan suara bagi menghalalkan penanaman ganja walaupun petisyen berkenaan ditandatangani ramai.
Cadangan referendum itu bertujuan menghalalkan penanaman ganja untuk kegunaan peribadi dan mengurangkan sekatan ke atas jenayah lain yang berkaitan, dengan pesalah tidak lagi berdepan risiko hukuman penjara kerana menjual sejumlah kecil ganja.
Presiden Mahkamah Perlembagaan dan bekas perdana menteri, Giuliano Amato, memberitahu sidang media referendum itu sahaja sudah memadai “untuk membuatkan (Itali) melanggar pelbagai kewajipan antarabangsa.”
Salah seorang penyokong liberalisasi, Benedetto Della Vedova dari parti tengah + Europa menentang keputusan mahkamah berkata mahkamah itu “menafikan Itali daripada perdebatan awam dan proses reformasi pilihan raya mengenai kebebasan dan tanggungjawab.”
Penganjur referendum telah memperoleh lebih 630,000 tandatangan, dengan alasan ganja tidak mudarat berbanding tembakau atau alkohol.
Selain itu, dakwa mereka, menghalalkan undang-undang berkenaan akan mengurangkan kesesakan penjara, kata mereka.
Ketika ini, hukuman untuk menanam ganja ialah hukuman penjara antara dua dan enam tahun.
Penentang referendum, termasuk ketua parti Liga sayap kanan antiimigresen, Matteo Salvini, berhujah liberalisasi akan menggalakkan penggunaan kedua-dua dadah lembut dan keras. – AFP, 17 Februari, 2022.
Komen