Israel serang selatan Damsyik, kata Syria


Ini merupakan serangan udara kedua Israel ke atas Syria bulan ini, selepas negara Yahudi itu menyasarkan bateri antipesawat pada 9 Februari sebagai tindak balas kepada peluru berpandu yang ditembak dari Syria. – Gambar EPA, 17 Februari, 2022.

REJIM Israel telah menyerang sebuah bandar di selatan Damsyik pada petang Rabu sekali gus menyebabkan kerosakan harta benda, menurut media kerajaan Syria.

Ini merupakan serangan udara kedua Israel ke atas Syria bulan ini, selepas negara Yahudi itu menyasarkan bateri antipesawat pada 9 Februari sebagai tindak balas kepada peluru berpandu yang ditembak dari Syria.

“Rejim Israel melakukan serangan dengan beberapa peluru berpandu” dari Golan yang diduduki Israel, menyasarkan bandar Zakiya pada kira-kira pukul 11.35 malam, kata SANA, memetik sumber tentera.

Seorang pemantau perang berkata serangan pada Rabu itu menyasarkan pos tentera Syria.

“Tembakan menyasarkan pos tentera,” kata ketua Syrian Observatory for Human Rights Rami Abdel Rahman kepada AFP.

Pemantau yang berpangkalan di United Kingdom itu bergantung pada rangkaian sumber yang luas di dalam Syria.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera yang disokong Iran dan pejuang gerakan militan Syiah Hizbullah.

Israel telah berulang kali berkata ia berusaha untuk menghalang musuh ketatnya Iran daripada meluaskan pengaruh di Syria. – AFP, 17 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen