SEORANG saintis Rusia yang dituduh sebagai pengintip Moscow ketika bekerja di sebuah universiti Jerman akan dibicarakan pada Khamis, sekali gus menjadi satu lagi punca pergeseran hubungan yang sudah sedia renggang antara kedua-dua negara.
Tertuduh, yang hanya dikenali sebagai Ilnur N. oleh pendakwa raya, didakwa berkongsi maklumat mengenai program roket angkasa Ariane Eropah dengan Moscow serta menerima AS$2,800 sebagai pertukaran.
Kes itu yang terbaru dalam rentetan dakwaan pengintip Rusia yang ditemui di Jerman ketika ketegangan terburuk antara Moscow dan Barat sejak Perang Dingin berhubung penempatan tentera Presiden Vladimir Putin di sempadan dekat dengan Ukraine.
Ia dilaporkan membawa kepada pengusiran seorang diplomat dari konsulat Rusia di Munich, selepas dua lagi kakitangan kedutaan diisytiharkan sebagai persona non grata berhubung pembunuhan bekas komander Chechen di Berlin pada 2019 yang didakwa diarahkan oleh Moscow.
Pendakwa raya mendakwa baawa Ilnur N. bekerja di universiti Bavaria yang tidak dinamakan apabila dia dihubungi oleh perkhidmatan perisikan Rusia SVR pada musim luruh 2019.
Selepas bersetuju untuk bekerjasama, beliau “menyalurkan maklumat mengenai projek penyelidikan dalam bidang teknologi aeroangkasa, khususnya pelbagai peringkat pembangunan pelancar Eropah Ariane”, kata pendakwa dalam satu kenyataan.
Program Ariane Agensi Angkasa Eropah terdiri daripada satu siri roket pengangkutan yang direka untuk mengangkut muatan berat termasuk satelit ke angkasa.
Program berusia 40 tahun itu, sering dijadikan model kerjasama industri dan politik antara negara Eropah, menghadapi persaingan yang semakin meningkat daripada pendatang baharu seperti SpaceX milik Elon Musk.
Menurut pendakwa raya, Ilnur N. mengadakan “pertemuan kerap” sejak akhir November 2019 dan seterusnya dengan pegawai kanan perkhidmatan perisikan asing Rusia yang ditempatkan di Jerman.
Akhbar Bild mengenal pasti suspek sebagai Ilnur Nagaev. Profilnya tidak kelihatan di laman web Universiti Augsburg, yang telah mengesahkan suspek bekerja di sana ketika penahanannya pada Jun tahun lalu. – AFP, 17 Februari, 2022.
Komen