PERKHIDMATAN penghantaran airasia xpress yang dimulakan di Singapura hari ini dijangka membantu perniagaan kecil dan usahawan sosial untuk menjimatkan kos dan mengembangkan perniagaan mereka.
Pelanggan boleh menerima bungkusan dan dokumen yang dihantar menggunakan motosikal dan kereta dalam tempoh kurang daripada satu jam menerusi perkhidmatan penghantaran pantas yang ditawarkan di airasia Super App.
Perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama—iaitu barang akan dihantar dalam masa empat hingga enam jam—akan ditawarkan tidak lama lagi.
“Memberikan perkhidmatan kepada mereka yang kurang mendapat kemudahan sentiasa menjadi misi teras airasia, dan pengembangan ini mempamerkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan penghantaran terbaik kepada pengguna di rantau ini,” kata Ketua Penghantaran airasia Super App Lim Ben-Jie dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perniagaan kecil dan usahawan sosial akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan penghantaran terpantas dan mampu milik itu, yang menawarkan perkhidmatan bernilai.
Selain Singapura, airasia xpress turut menawarkan perkhidmatan di tujuh bandar di Malaysia—Lembah Klang, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu—selain Bangkok, Thailand.
“Penghantaran antara bandar, antara negeri dan antarabangsa di bandar-bandar utama lain di rantau ini akan disediakan tidak lama lagi,” kata airasia, sambil menyatakan perkhidmatan itu didorong oleh Teleport, usaha niaga logistik Capital A Bhd.
Sebagai pelancaran perkhidmatan baharu itu, pengguna baharu airasia xpress boleh membuat tempahan penghantaran pertama mereka dengan menerima diskaun 50 peratus (terhad kepada SGD5).
Pengguna boleh menekan ikon ‘Xpress’ di airasia Super App untuk membuat tempahan atau melayari https://www.airasia.com/aa/xpress/sg/ untuk maklumat lanjut. – Bernama, 17 Februari, 2022.
Komen