INDIA sedang menyiasat dakwaan seorang doktor tidak berlesen menyebabkan 46 orang dijangkiti HIV dengan mengitar semula jarum suntikan, kes terbaru dalam negara berpenduduk 1.25 bilion yang mempunyai masalah penjagaan kesihatan itu.
Polis di Uttar Pradesh sudah memulakan siasatan jenayah ke atas Rajendra Yadav yang menyediakan perkhidmatan kesihatan dari rumah ke rumah di perkampungan miskin di utara negeri itu.
India mempunyai perkhidmatan penjagaan kesihatan terhad dan ditambah kekurangan penguatkuasaan undang-undang, situasi yang membolehkan doktor tanpa lesen bergerak di kawasan pendalaman.
Kes terbaru itu terbongkar apabila saringan kesihatan kerajaan mendapati kes jangkitan HIV yang tinggi berlaku di daerah Unnao.
“Semua 46 kes datang dari kawasan tertentu di daerah kami,” kata Ketua Doktor Unnao, S.P Chaoudhary kepada AFP.
“Ketika itulah kami memutuskan untuk menyiasat. Ada yang dijangkiti menyalahkan doktor palsu itu kerana menggunakan satu jarum suntikan sahaja.”
Tetapi Chaoudhary berkata Yadav yang kini melarikan diri bukanlah satu-satunya punca jumlah jangkitan yang tinggi itu.
“Kami tak fikir seorang doktor palsu boleh jadi faktor tunggal jumlah jangkitan yang tinggi ini,” katanya.
“Kawasan itu mempunyau populasi pemandu lori dari luar yang tinggi dan kewujudan amalan hubungan seks tanpa perlindungan juga boleh menjadi punca.”
Seramai 2.1 juta orang di India dijangkiti HIV menurut data PBB walaupun jumlah jangkitan semakin menurun.
Ia mempunyai 840,000 doktor- satu untuk setiap 1,674 orang- jauh lebih rendah berbanding satu untuk 1,000 orang yang dicadangkan Organisasi Kesihatan Dunia.
Minggu lepas kerajaan mengumumkan skim penjagaan kesihatan nasional untuk setengah billion rakyatnya, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.
India membelanjakan lebih kurang satu peratus daripada KDNK negara itu untuk penjagaan kesihatan-salah satu yang terendah di dunia- kerajaan mahu meningkatkan jumlah itu kepada 2.5% menjelang 2025. – AFP, 7 Februari, 2018.
Komen