EKONOMI Singapura berkembang sebanyak 7.6% untuk keseluruhan 2021, pulih daripada penguncupan 4.1% pada 2020, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Menurut MTI, sektor pembuatan mengukuh 13.2% tahun ke tahun (y-o-y), meningkat daripada pertumbuhan 7.5% yang dicatatkan pada 2020.
“Dalam sektor ini, keluaran merentasi semua kluster menunjukkan peningkatan, dengan kluster kejuruteraan ketepatan, elektronik dan kejuruteraan pengangkutan mencatatkan pertumbuhan keluaran terbesar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, sektor pembinaan mengembang 20.1% tahun ke tahun, pulih daripada penguncupan 38.4% tahun sebelumnya, disokong oleh kerja-kerja pembinaan sektor awam dan swasta.
Industri pengeluaran perkhidmatan meningkat sebanyak 5.6% tahun ke tahun berbanding penguncupan 5.1% sebelum ini, katanya.
Kesemua sektor perkhidmatan juga mencatatkan pengembangan, kecuali sektor pentadbiran dan perkhidmatan sokongan, kata kementerian itu.
Bagi suku keempat 2021, ekonomi Singapura berkembang sebanyak 6.1% tahun ke tahun, menyederhana daripada pengembangan 7.5% pada suku sebelumnya.
Pada asas pelarasan musim suku ke suku, ekonomi meningkat sebanyak 2.3%, lebih cepat daripada pertumbuhan 1.5% yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Mengenai prospek ekonomi untuk 2022, MTI telah mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 antara 3.0% dan 5.0%. – Bernama, 17 Februari, 2022.
Komen