AUSTRALIA pada Khamis berkata ia akan menyenaraikan semua pergerakan Islam Palestin Hamas sebagai pertubuhan pengganas, negara Barat yang terbaharu berbuat demikian.
Canberra sebelum ini menyenaraikan Briged al-Qassam Hamas sebagai kumpulan pengganas, tetapi pengumuman baharu itu akan menyenaraikan organisasi itu secara keseluruhan.
Hamas kini menguasai Semenanjung Gaza, berikrar untuk “membebaskan” Baitulmaqdis dengan kekerasan dan sering melakukan serangan ke atas sasaran Israel.
“Pandangan Hamas dan kumpulan pelampau ganas yang disenaraikan hari ini amat membimbangkan, dan tidak ada tempat di Australia untuk ideologi kebencian mereka,” kata menteri dalam negeri Karen Andrews.
Penyenaraian itu akan menyebabkan sekatan ke atas pembiayaan atau menyediakan sokongan lain kepada Hamas—dengan kesalahan tertentu yang membawa hukuman penjara 25 tahun.
“Adalah penting undang-undang kita menyasarkan bukan sahaja tindakan keganasan dan pengganas, tetapi juga organisasi yang merancang, membiayai dan melaksanakan tindakan ini,” kata Andrews.
Israel mengekalkan sekatan di Semenanjung Gaza sejak 2007, apabila Hamas mengambil alih kuasa di kawasan miskin itu.
Amerika Syarikat sekian lama menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Keputusan EU yang serupa menjadi subjek pertempuran mahkamah, yang akhirnya menyebabkan Hamas dimasukkan semula dalam senarai pengganas. – AFP, 17 Februari, 2022.
Komen