SEKURANG-KURANGNYA 78 orang terbunuh dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda bandar Petropolis, Brazil, menjadikan jalanan sungai deras dan menghanyutkan rumah, kata pegawai hari ini.
Pekerja penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang tertimbus dalam lumpur selepas ribut kuat pada Selasa menyebabkan hujan selama sebulan dalam tempoh tiga jam di utara Rio de Janeiro.
Terdapat kebimbangan jumlah kematian, yang meningkat secara berterusan sepanjang hari, mungkin semakin bertambah apabila anggota bomba dan sukarelawan menjalankan pencarian dalam rumah yang dihanyutkan dalam limpahan lumpur, kebanyakannya di kawasan setinggan lereng bukit yang miskin.
Ia terbaharu dalam kejadian ribut yang melanda Brazil sejak tiga bulan lalu, yang menurut pakar semakin teruk akibat perubahan iklim.
Kerajaan negeri berkata sekurang-kurangnya 21 orang berjaya diselamatkan. Menggunakan anjing, jengkaut dan helikopter, pekerja penyelamat segera mencari lebih banyak mangsa sebelum terlambat.
Kira-kira 300 orang dipindahkan di tempat perlindungan, kebanyakannya di sekolah, kata pegawai. Badan amal menyeru sumbangan tilam, makanan, air, pakaian dan pelitup muka untuk mangsa.
Wendel Pio Lourenco, 24, berkata dia cuba menyelamatkan beberapa barangan, selepas menghabiskan malam tanpa tidur membantu mencari mangsa.
“Saya menjumpai seorang gadis yang tertimbus hidup-hidup,” katanya.
“Semua orang berkata ia kelihatan seperti zon perang.”
Gabenor Claudio Castro berkata perkara yang sama selepas melawat tempat kejadian.
“Ia kelihatan seperti adegan perang. Ia luar biasa,” katanya pada sidang akhbar.
Beliau memuji pekerja penyelamat kerana berjaya “menyelamatkan sejumlah besar orang sebelum terlambat.”
Video yang disiarkan di media sosial pada Selasa menunjukkan jalan di Petropolis dipenuhi dengan air banjir yang menghanyutkan kereta, pokok dan hampir segala-galanya di laluan mereka.
Banyak kedai ditenggelami sepenuhnya oleh air yang semakin naik, melimpah hingga ke jalan.
Pegawai berkata lebih 180 anggota bomba dan penyelamat lain bertindak balas terhadap kecemasan, dibantu oleh 400 tentera.
Dewan bandar raya mengisytiharkan “keadaan bencana” di bandar yang mempunyai 300,000 penduduk, yang terletak 68 kilometer di utara Rio.
Majlis bandar raya mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk mangsa. – AFP, 17 Februari, 2022.
Komen