MERCEDES-BENZ terpaksa meminta maaf kerana “menyakiti hati” rakyat China kerana mengguna petikan kata-kata Dalai Lama dalam satu kempen di Instagram.
Syarikat gergasi automotif Jerman itu kini menyertai barisan syarikat antarabangsa yang “terkena” dengan dasar Beijing terhadap Tibet.
Mercedes didakwa melanggar dasar rasmi Beijing melalui penerbitan satu gambar dalam akaun Instagram rasminya.
Ia memaparkan imej sebuah kereta di pantai dengan dengan tajuk: “Perhatikan keadaan dari semua sudut dan pandangan anda akan lebih terbuka”.
Tajuk berkenaan merupakan petikan kata-kata Dalai Lama yang dilihat Beijing sebagai seorang pemisah.
Slogan yang dipaparkan pula menggesa pengguna untuk “Mulakan minggu anda dengan pandangan segar kehidupan oleh Dalai Lama.”
Iklan berunsur Zen itu dengan cepat menerima kritikan daripada pengguna internet di China kerana memetik pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu. Beijing menyifatkan Dalai Lama sebagai “serigala yang berlindung di bawah jubah sami.”
Dalai Lama telah lama menyeru dan menuntut rakyat Tibet mendapatkan hak autonimi yang lebih besar, dan bukannya menuntut kemerdekaan sepenuhnya.
Walaupun Instagram disekat di China, Mercedes dengan cepat memadam kandungan kontroversi itu apabila isu berkenaan riuh di media sosial Weibo, satu platform media sosial yang popular di China.
“Walaupun kami padam maklumat berkaitan secepat mungkin, kami faham yang ianya telah menyakitkan hati rakyat negara itu,” kata Mercedes melalui akaun Weibo.
Posting itu “menerbitkan maklumat yang sangat tidak tepat. Untuk itu kami minta maaf,” tulis syarikat ity tanpa menamakan sama ada Instagram ataupun Dalai Lama.
Kementerian Luar China memuji respon segera Mercedes itu. Jurucakapnya, Geng Shuang memberitahu wartawan: “Memperbetulkan kesalahan adalah perkara paling asas sekali.”
Beijing “memuji syarikat luar itu untuk meraih peluang daripada pembangunan China, namun semasa proses ini kami berharap syarikat luar mampu mematuhi perkara paling asas,” kata Geng. – AFP, 7 Februari, 2018.
Komen