Polis tahan 2 warga asing disyaki terlibat penipuan dalam talian


SEORANG lelaki dan wanita warga asing ditahan semalam kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian di sebuah kondominium mewah di sekitar kawasan Medan Tuanku di Kuala Lumpur. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kedua-dua suspek berusia 36 dan 42 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 1.30 tengah hari oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Beliau berkata pasukan serbuan merampas 32 peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu termasuk telefon bimbit, tablet, iPad, monitor komputer, papan kekunci komputer dan tetikus.

Menurut Noor Dellhan, siasatan awal mendapati suspek beroperasi di kondominium berkenaan yang memiliki kawalan keselamatan 24 jam bagi mengelak kegiatan itu dikesan.

“Suspek kini direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta pihak pengurusan bangunan dan orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat atau aktiviti yang mencurigakan berkenaan penipuan dalam talian. – Bernama, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen