PERSEKUTUAN Bola Sepak Myanmar terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejuaraan Bawah 23 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022 di Kemboja akibat Covid-19, menurut AFF dalam kenyataan akhbar pada Selasa, lapor Xinhua.
“Sebagai langkah kesihatan dan keselamatan, pasukan Myanmar B-23 telah menjalani ujian sebelum dan selepas tiba di Kemboja,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, beberapa pemain didapati positif Covid-19 dan keputusan menarik diri demi mengurangkan risiko jangkitan, sambil menambah pemain dan kakitangan yang dikenal pasti sebagai kontak rapat juga telah diasingkan.
“Adalah amat dikesali pasukan Myanmar B-23 terpaksa menarik diri daripada Kejohanan AFF B-23.
“Kami difahamkan bahawa pasukan telah bersiap sedia memulakan kempen mereka dan peminat tidak sabar menyaksikan pasukan beraksi.
“Bagaimanapun, kesihatan dan keselamatan mereka yang terlibat perlu diberi keutamaan dan kami memahaminya,” kata presiden AFF Khiev Sameth.
Myanmar dijadual memulakan kempen dalam Kumpulan B menentang Malaysia pada Selasa dan merupakan skuad kedua menarik diri selepas juara bertahan Indonesia.
Edisi ketiga Kejohanan AFF B-23 2022 bermula pada Isnin hingga 26 Feb di Phnom Penh.
Baki sembilan pasukan yang akan bertanding termasuk tuan rumah Kemboja, Timor-Leste, Filipina, Brunei, Malaysia, Laos, Thailand, Vietnam dan Singapura. – Bernama, 16 Februari, 2022.
Komen