China mungkin ambil kesempatan krisis Ukraine, kata jeneral AS


Menurut seorang jeneral Amerika Syarikat negara komunis China dilihat akan mengambil kesempatan dengan membuat tindakan provokasi di Asia ketika dunia sedang memberi tumpuan kepada krisis di Ukraine antara Rusia dan Barat. – Gambar EPA, 16 Februari, 2022.

CHINA mungkin akan mengambil kesempatan daripada krisis Ukraine dengan melakukan sesuatu yang provokatif di Asia ketika Barat cuba meredakan ketegangan dengan Rusia, jeneral Amerika Syarikat (AS) memberi amaran pada Rabu.

Penempatan lebih 100,000 tentera Rusia di sempadan Ukraine telah mencetuskan kebimbangan di Washington dan ibu negara Barat lain tentang pencerobohan yang semakin dekat.

Ketua Tentera Udara Pasifik AS Jeneral Kenneth Wilsbach berkata China telah berbaik dengan Rusia dalam krisis itu, menimbulkan persoalan tentang niat negara komunis itu di Asia.

“Dari sudut pandangan sama ada China akan melihat apa yang berlaku di Eropah dan… cuba lakukan sesuatu di sini di Asia-Pasifik… benar-benar ya, itu kebimbangan,” kata Wilsbach.

“Saya bimbang mereka akan ambil kesempatan,” tambahnya, bercakap kepada pemberita di Pertunjukan Udara Singapura.

“Ia tidak mengejutkan jika mereka cuba sesuatu yang mungkin provokatif, dan melihat bagaimana masyarakat antarabangsa bertindak balas.”

Wilsbach berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan kakitangannya dan “entiti” lain di rantau ini mengenai implikasinya selepas Beijing menyatakan sokongan terhadap Rusia  berhubung krisis Ukraine.

Berpusat di Hawaii, arahan Wilsbach akan memainkan peranan utama jika konflik meletus di Pasifik.

Sejak sekian lama Beijing telah dipersalahkan kerana mencetuskan ketegangan di rantau itu kerana telah mengukuhkan kawalan ke atas pulau-pulau utama dan kawasan di Laut China Selatan.

Beijing menuntut hampir keseluruhan laut, yang bertindih dengan Taiwan dan empat negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Walaupun AS dan negara Barat lain tidak mempunyai tuntutan di Laut China Selatan, mereka bimbang kawalan China akan melanggar kebebasan pelayaran di laluan air strategik itu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, China juga telah meningkatkan tekanan ke atas Taiwan dengan menghantar jet pejuang ke zon pertahanan udara pulau itu.

Wilsbach berkata apabila China melihat krisis, ia mempertimbangkan sama ada “ini adalah peluang untuk keuntungan”.

Beliau tidak menjelaskan secara terperinci apa yang mungkin dibuat China ketika krisis Ukraine, hanya berkata Beijing “mungkin ada beberapa pilihan”. – AFP, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen